PAS Dakwa Semangat Penyokong Kembali Pulih Lepas Himpunan Fastaqim


KUALA LUMPUR – PAS yakin mental ahli dan penyokongnya telah berjaya `dikemaskini’ selepas penganjuran Himpunan Fastaqim di Stadium Kota Bharu di Kelantan semalam.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi berkata, persediaan fizikal dan pemantapan spiritual kini berjaya diabadikan dalam diri ahli dan penyokong PAS selepas parti itu tidak lagi bersama DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Momentum kebangkitan dan semangat yang menyemarak melalui Himpunan Fastaqim ini jangan hanya berhenti di padang stadium.

“Fokus dan kawal emosi untuk menumpukan perhatian pada gerakkerja turun padang. Usah peduli lagi pada kemuncup perjuangan ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beberapa penganalisis politik berpandangan perhimpunan itu membolehkan PAS menunjukkan sokongan ahlinya ke atas pemimpin sedia ada PAS tidak tergugat dengan kewujudan Parti Amanah Negara (Amanah).

Amanah yang diasaskan oleh bekas pemimpin-pemimpin PAS pro-Pakatan Rakyat menimbulkan keresahan parti itu kerana menarik ramai ahli PAS menyertai Amanah.

Bekas pemimpin PAS terbabit disingkirkan dalam pemilihan parti itu pada Jun lalu menyebabkan mereka bertindak sebuah parti baharu Islam baru, Amanah. -Kedahnews.com