PAS Kedah Kata Bajet 2016 "Serba Tak Cukup" Untuk Kedah

Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi
ALOR SETAR – Bajet 2016 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak umpama ‘kain pendek yang serba tidak cukup’ kerana kurang memberi perhatian kepada Kedah.

Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi berkata, perkara itu jelas membuktikan kelemahan ketara Najib dalam pengurusan kewangan negara.

“Rakyat Kedah, khususnya penduduk Pendang pasti merasa terkilan kerana sehingga kini hospital daerah yang diura-urakan oleh kerajaan hampir satu dekad lalu belum menjadi kenyataan.

“Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi semasa pembentangan Bajet 2006 mencadangkan pembinaan Hospital Pendang dan Hospital Shah Alam. Tetapi sehingga kini tapak pembinaannya masih berhutan, sedangkan Hospital Shah Alam sudah siap,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, lebih aneh apabila projek Bandaraya Getah (Rubber City) yang baru diura-urakan tersenarai untuk dilaksanakan sekalipun tiada jaminan bahawa kewujudannya akan meningkatkan harga komoditi getah, sekaligus meningkatkan taraf hidup pekebun dan penoreh.

“Sehingga kini, kerajaan masih kabur untuk menjelaskan keperluan kewujudan Bandaraya Getah serta keupayaannya untuk memberi faedah terhadap rakyat di negeri ini.

“Pemberian subsidi RM300 setan metrik kepada pesawah juga pengumuman yang kelakar dan seolah-olah mempersenda 155,000 keluarga pesawah kerana sejak 15 tahun lalu mereka mendapat subsidi RM248.10 setan metrik,” katanya.

Beliau berkata, penyelarasan harga padi iaitu RM1,200 bagi setiap tan metrik juga bukan perkara baru yang diperkenalkan kerajaan.

“Ia sudah pun diselaraskan sebelum ini. Cuma isu yang menjadi kemusykilan pesawah ialah piawai sebenar dalam pemutuan harga padi.

“Kerajaan mesti memberi penjelasan perkara itu supaya rakyat memahami dan menerima baik kaedah pemutuan yang sebenar,” katanya.

Ahmad Fakhruddin berkata, secara umum rakyat Kedah dilihat tidak mendapat apa-apa keistimewaan tersendiri dari bajet kali ini.

“Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir pernah menyarankan agar Kedah dikecualikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) enam peratus dalam perkara tertentu nampaknya langsung tidak mendapt perhatian Perdana Menteri.

“GST dikenakan bukan atas lebihan atau keuntungan, bahkan dikenakan atas transaksi yang majoritinya melibatkan orang miskin. Semoga kerajaan yang ada insaf mengenai tindakan keterlaluan mereka,” katanya.

Beliau berkata, sepatutnya dengan pertambahan hasil negara melalui GST sebanyak RM39 bilion (berbanding cukai jualan dan perkhidmatan hanya RM18 bilion) lebih banyak manfaat yang diperolehi.

“Malangnya banyak pula perbelanjaan penting negara terpaksa dipotong. Misalnya peruntukan untuk universiti awam dalam Bajet 2016 dikurangkan RM1.44 bilion berbanding 2015.

“Saya ucapkan ‘tahniah’ kepada Najib kerana berjaya mengalihkan kebergantungan sumber pendapatan negara dari hasil petroleum kepada poket rakyat iaitu dengan memperkemaskan lagi pelaksanaan GST,” katanya.

Sumber: Sinar Harian