PAS Mohon Kerajaan Pusat Adakan Sidang Khas Bincang TPPA Di Parlimen

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali
KUALA LUMPUR – PAS menyarankan kerajaan memperuntukkan satu sesi sidang Parlimen khas bagi membincangkan tentang Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) sebelum ia ditandatangani Malaysia.

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, perjanjian TPPA merupakan suatu perjanjian perdagangan yang besar disamping melibatkan isu-isu yang begitu kritikal.

“Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menegaskan penyertaan Malaysia di dalam TPP hanya akan diputuskan setelah dibahas dan diluluskan oleh Parlimen.

“Namun ia bukanlah suatu yang mudah kerana rundingan ini telah pun berlangsung secara sulit sejak lima tahun lalu, sidang Parlimen akan datang pula bakal menjelma tidak lama lagi dan tempohnya amat singkat untuk tujuan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Ketua Dewan Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz pula berpandangan Malaysia perlu lebih berhati-hati dengan kuasa politik kuasa-kuasa besar dan isu-isu yang dibangkitkan perlu dinilai pada skop geopolitik dunia.

Menurutnya, satu sesi sidang Parlimen khusus bagi membincangkan mengenai TPPA perlu diadakan memandangkan perjanjian TPPA merupakan suatu perjanjian perdagangan yang besar disamping melibatkan isu-isu yang begitu kritikal.

“Pemuda PAS yakin bahawa dengan perbincangan yang menyeluruh dan matang akan menghasilkan suatu keputusan yang baik kepada rakyat dan negara demi membina suatu legasi yang lebih baik pada masa hadapan,” katanya. - Kedahnews.com