PAS Perlu Jadi Parti Berdisiplin Jika Mahu Sertai Pakatan Harapan


KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) menetapkan syarat kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) jika benar-benar berhasrat mempelawa PAS menyertai Pakatan Harapan.

Pengarah Kommunikasinya, Khalid Abd. Samad berkata, PKR perlu memastikan PAS telah menjadi sebuah parti yang berdisiplin dan jujur jika mahu menyertai gabungan baharu pembangkang tersebut.

“Amanah mengalu-alukan pendirian PKR untuk memantapkan Pakatan Harapan dan bersetuju untuk membuka keahlian Pakatan Harapan kepada semua yang berminat untuk menyertainya.

“Namun disiplin dan kejujuran dalam berpakat perlu ditekankan supaya pihak lawan tidak akan berjaya melaga-lagakan anggota Pakatan Harapan sepertimana mereka telah berjaya terhadap Pakatan Rakyat,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Khalid turut menegaskan, setiap anggota parti Pakatan Harapan perlu kommited kepada Pakatan Harapan dan jelas pendirian berhubung siapa kawan dan siapa lawan.

Pakatan Harapan yang ditubuhkan oleh PKR, DAP dan Amanah berikutan pembubaran Pakatan Rakyat pada Jun lalu menyisihkan penyertaan PAS.

DAP dan Amanah berpandangan pemimpin PAS tidak boleh dipercayai kerana sering berbohong dan mengkhianati semasa berada dalam Pakatan Rakyat.

Pengarah Kommunikasi Parti Amanah Negara, Khalid Abd. Samad
Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali bagaimanapun membuat pusingan U apabila menegaskan PKR komited untuk mempelawa PAS menyertai Pakatan Harapan.

PKR membuat pusingan-U kerana bimbang bakal kehilangan sokongan kaum Melayu berikutan kurang bilangan kaum itu menyertai perhimpunan haram Bersih 4 bagi menumbangkan kerajaan pada Ogos lalu.

Berikutan itu, Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Faiz Fadzil secara lantang mendesak PKR supaya melupakan PAS dan meneruskan kerjasama dengan DAP dan Amanah sahaja.

Sehubungan itu, PKR malam tadi memberi peringatan kepada Amanah dan DAP supaya tidak mencampuri pendirian PKR berhubung penyertaan PAS dalam Pakatan Harapan kerana itu merupakan hak PKR. -Kedahnews.com