PAS Umum Hasil Kutipan Sumbangan Himpunan Fastaqim RM209,577


ALOR SETAR – PAS mengumumkan parti itu menerima sumbangan RM209,577 dalam Himpunan Fastaqim di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.

Setiausaha Himpunan Fastaqim, Nasrudin Hassan berkata, sumbangan itu diperoleh daripada para ahli dan penyokong PAS yang hadir dalam perhimpunan berkenaan.

“PAS adalah sebuah gerakan Islam yang dibiayai sepenuhnya dari poket ahli dan penyokongnya. PAS menerima sumbangan derma dari ahli secara terbuka dan mengisytiharkannya secara terbuka.

“Suka saya maklumkan bahawa perkara ini tidak perlu menjadi polemik dan fitnah. Jumlah sumbangan yang diterima di Himpunan Fastaqim ialah RM209,577,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nasrudin menerangkan, jumlah sumbangan diterima di Himpunan Fastaqim lewat diumumkan kerana kelewatan kiraan untuk memuktamadkan jumlah sumbangan diterima.

Kata beliau, sumbangan itu akan digunakan sepenuhnya untuk aktiviti parti dibawah gerak kerja PAS. -Kedahnews.com