PBB Bakal Ketengah Calon Muka Baru Pada Pilihanraya Negeri Nanti

KUCHING - Salah sebuah parti utama di Sarawak, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mengesahkan akan menampilkan beberapa muka baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Timbalan Presiden Kanan PBB, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, muka baharu itu berkemungkinan termasuk daripada kalangan pemuda dan wanita.

“Untuk pilihan raya kali ini, PBB sudah pasti akan meletakkan muka baharu tetapi bilangannya hanya akan diputuskan oleh Ketua Menteri yang juga presiden parti.

“Penampilan muka baharu ini bukan perkara baharu bagi PBB kerana kita dalam proses pembaharuan di mana setiap kali pilihan raya kita akan mengenal pasti muka baharu dalam PBB.

“Jadi untuk pilihan raya kali ini, memang akan ada muka baharu dan berkemungkinan juga termasuk daripada kalangan pemuda dan wanita kita yang mana akan ditentukan oleh Ketua Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian Seminar Ekonomi dan Perniagaan Antarabangsa Ketiga anjuran Persatuan Alumni UiTM Sarawak (MITSA) dan UiTM Sarawak di sebuah hotel terkemuka di sini semalam.

Dalam perkembangan lain, Abang Johari yang juga Menteri Perumahan dan Menteri Pelancongan menyangkal dakwaan bahawa permintaan Ketua Menteri untuk menaikkan bayaran royalti minyak dan gas kepada 20 peratus daripada kerajaan pusat tidak mendapat sokongan menteri kabinet.

Menurut Abang Johari, dakwaan Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen itu adalah tidak benar kerana apa yang diutarakan oleh Ketua Menteri itu adalah hasil daripada keputusan bersama antara menteri-menteri kabinet.

“Apa yang diminta oleh Ketua Menteri itu adalah dipersetujui sepenuhnya oleh semua menteri dan beliau adalah sebagai jurucakap utama untuk kita mencapai 20 peratus bayaran royalti minyak dan gas ini.

“Chong mungkin beranggapan bahawa usaha Ketua Menteri tidak mendapat sokongan tetapi apa yang pasti ialah apabila Ketua Menteri berkata demikian bermaksud semua pihak adalah bersetuju.

“Cukuplah kita mempunyai Ketua Menteri sebagai jurucakap utama dalam hal ini kerana jika ramai yang bersuara ia hanya akan mengelirukan keadaan,” ujarnya sambil menambah, satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan bagi mengkaji perkara itu. -Kedahnews.com