PDRM Mula Guna Proton Suprima S Dan Iriz Bulan Depan?


Dua keping gambar yang  kini sedang viral di laman sosial memperlihatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal menggunakan Proton Iriz dan Suprima S sebagai kereta peronda bagi menggantikan Perodua Kancil yang buat masa ini digunakan oleh jabatan terbabit.

Di mana Perodua Kancil yang digunakan bagi kereta peronda oleh Ketua Balai Polis cawangan kecil, akan digantikan dengan model Iriz.


Manakala Suprima S pula akan digunakan untuk balai-balai polis yang lebih besar.

Penggantian kereta peronda polis ini dilihat sebagai usaha PDRM meningkatkan imej dan integriti pasukan keselamatan.

Menurut sumber, majlis perasmian dan penyerahan kunci akan dilaksanakan secara rasmi pada awal November ini oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.


Pada pertengahan Ogos lalu, PDRM mula menerima 1,200 buah Proton Inspira bagi dijadikan kereta peronda baharu secara berperingkat mulai hujung tahun ini.

Selain itu, Proton Preve juga turut menjadi pilihan PDRM bagi tujuan yang sama. 

Kenderaan itu adalah khusus bagi menggantikan kereta peronda yang berusia lapan tahun ke atas. -Kedahnews.com