Remaja terbabit (kanan) dikawal polis keluar dari mahkamah selepas selesai dituduh. - Foto Sinar Harian oleh JAZALY AMRY JAAFAR |
KOTA BHARU – Seorang remaja yang masih bersekolah di tingkatan empat di Pasir Puteh mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan merogol gadis tingkatan satu di mahkamah majistret, di sini, semalam.
Tuduhan terhadap remaja berusia 16 tahun dari daerah tersebut dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Siti Hajar Alias di hadapan Majistret, Mohd Firdaus Zainal Abidin.
Tertuduh juvenil berkenaan berdepan dakwaan merogol mangsa yang ketika itu berusia 13 tahun tujuh bulan di sebuah rumah di Kampung Bukit Tanah, Selising, Pasir Puteh, dua tahun lalu.
Kejadian pertama didakwa berlaku antara jam 12 dan 12.15 tengah hari; kedua antara jam 12.30 dan 12.45 tengah hari dan terakhir antara jam 1 dan 1.30 petang, kesemuanya pada 5 Mei 2013.
Susulan penafian tertuduh, Siti Hajar mencadangkan jaminan RM6,000 dan memohon tarikh sebutan semula.
Mahkamah menetapkan 29 November depan untuk sebutan dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin.
Sumber: Sinar Harian