Pelantikan Pengerusi PAC Yang Baru Akan Percepat Siasatan 1MDB


KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein yakin pelantikan pengerusi baharu Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan mempercepatkan penyelesaian terhadap keraguan dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau percaya pengerusi baharu PAC dan anggota jawatankuasanya akan melaksanakan tanggungjawab mereka dengan berkesan.

Orang ramai yang mahu isu 1MDB diselesaikan harus menunggu hasil siasatan PAC, kata Hishammuddin kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Dewan Rakyat meluluskan pelantikan Anggota Parlimen Rompin Datuk Hasan Arifin sebagai pengerusi baharu PAC hari ini, menggantikan Datuk Nur Jazlan Mohamed yang dilantik menjadi Timbalan Menteri Dalam Negeri.

Perkara itu dinyatakan dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-usul Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga Parlimen Ketiga Belas 2015 yang dimuat naik dalam Portal Rasmi Parlimen Malaysia, pada 16 Okt lepas.

Sementara itu, Nur Jazlan yakin Hasan dapat menjalankan tanggungjawab berkenaan dengan baik.

Beliau juga berharap Hasan akan mendapat kerjasama sepenuhnya daripada semua parti yang mengganggotai PAC supaya urusan yang tergendala sebelum ini dapat diteruskan. – BERNAMA