Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom. |
KUALA LUMPUR – Dunia Islam menawarkan peluang yang besar dari segi perdagangan serta pelaburan, dan menjadi tanggungjawab umat Islam untuk memanfaatkannya demi meningkatkan kesejahteraan masyarakat dan dunia, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
“Justeru, amat penting negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) saling menyokong dalam mencapai matlamat kita dan memajukan negara masing-masing,” katanya di sini, hari ini.
Beliau ditemui pemberita sebelum merasmikan Perniagaan Dunia Islam 2015 Ke-6 yang bermula hari ini selama empat hari, bertemakan ‘Kebangkitan Era Kegemilangan Perindustrian’.
Mengulas persidangan dan pameran utama dunia Islam itu, Jamil Khir berkata pemimpin OIC harus menyahut cabaran bagi membolehkan perdagangan serantau dan global mencapai potensi penuhnya.
Pada persidangan kali ini, 10 tokoh menerima Anugerah Dunia Islam termasuk Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Tan Sri Mohd Yusof Noor; Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Felda Ventures Holdings Bhd., Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah dan CEO Central Spectrum, Mahmud Abbas.
Turut menerima anugerah itu ialah CEO Bosnia Bank International, Amer Bukvic; Pengasas Solico Group Gholamali Soleimani dan Ketua Pendakwa Raya Wilayah Herat, Afghanistan, Maria Bashir.
Pengasas Perniagaan Dunia Islam, Datuk Raja Mohamad Abdullah yang meninggal dunia pada Mac lalu, dianugerahi Anugerah Sepanjang Hayat yang diterima oleh balunya Datin Nordi Mohamad Hussien.
Acara itu dianjur oleh Pusat Perniagaan Antarabangsa OIC dengan kerjasama OIC, Pusat Islam bagi Pembangunan Perdagangan dan disokong oleh kerajaan Malaysia. – BERNAMA