Begitulah nasib bekas pemain dram Flop Poppy, Azman Ismail sekeluarga apabila anaknya yang baru berusia 15 hari disahkan mengalami masalah usus tidak bersambung. |
Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Begitulah nasib bekas pemain dram Flop Poppy, Azman Ismail sekeluarga apabila anaknya yang baru berusia 15 hari disahkan mengalami masalah usus tidak bersambung.
Lebih perit, pendapatannya sebagai seorang pemuzik jalanan (busker) selepas empat tahun kumpulan Flop Poppy dibubarkan tidak cukup menampung kos kehidupan keluarga mereka sehinggakan Azman sekeluarga terpaksa berpindah dan tinggal di hotel bajet.
Berkongsi cerita dukanya bersama mStar Online, Azman, 43 tahun, berkata, anaknya yang dilahirkan pada 15 Oktober lalu di Hospital Kuala Lumpur (HKL) itu disahkan mengalami masalah usus selepas seminggu dilahirkan.
“Anak saya mengalami masalah usus kerana usus besarnya tidak bersambung dan harus dibedah dalam tempoh umurnya berusia tiga bulan.
“Buat masa sekarang doktor telah menebuk perut anak saya bagi mengeluarkan najis dari perutnya,” ujarnya.
Tambah Azman, dia kini terpaksa berpindah ke sebuah hotel bajet berhampiran dengan HKL bagi memudahkan mereka untuk ke hospital, selain sedang mengumpul wang deposit untuk tinggal di rumah baharu.
“Selepas Flop Poppy dibubarkan, saya hanya jadi busker di sekitar Kuala Lumpur, jadi pendapatan tidak menentu, isteri saya yang dulu bekerja sebagai penyanyi di sebuah kelab malam terpaksa berhenti kerja bagi jaga anak kami.
“Saya kini pindah berhampiran HKL supaya senang kami ulang alik dan disebabkan saya tiada pendapatan tetap yang memerlukan sejumlah wang deposit memasuki rumah baru, saya terpaksa tinggal di hotel bajet buat sementara,” katanya yang dipetik dari sebuah portal.
Berikutan itu, Azman memohon sumbangan orang ramai agar dapat membantu anaknya menjalani kos perbelanjaan rawatan dan pembedahan anaknya.
Bagaimanapun, Azman berkata, pihak hospital masih belum memberitahu kos yang diperlukan untuk pembedahan usus tersebut.
Azman mendirikan rumah tangga dengan Azi Fitrah Ahmad pada tahun 2014.
Bagi yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Azman pada nombor 011-11906910. -Kedahnews.com