JOHOR BAHRU – Seorang ahli perniagaan air mineral maut setelah kereta Porsche dipandu terlibat dalam kemalangan yang berlaku di Kilometer 2.4 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, di sini, semalam.
Kejadian pada pukul 6.20 pagi sewaktu hujan lebat itu turut mengorbankan seorang penunggang motosikal.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh, berkata pemandu kereta Porsche dikenali sebagai Lim Foo Yong, 39, dari Taman Molek di sini, manakala penunggang motosikal ialah Amerul Fadzly Abdul Halim, 32, dari Kangar, Perlis.
Kejadian berlaku ketika kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari Johor Bahru menghala ke Kuala Lumpur.
“Kemalangan dipercayai berlaku disebabkan Lim gagal mengawal kenderaan dan melanggar motosikal Amerul yang ketika itu berada di lorong kecemasan, mengakibatkan kedua-dua kenderaan terbabas lalu melanggar sebatang pokok.
“Akibat kemalangan itu, kenderaan Lim rosak di bahagian atas dan hadapan kanan sementara motosikal Amerul terputus dua,” katanya dalam kenyataan, di sini.
Selain itu, Lim juga didapati tersepit di bawah tempat duduk pemandu manakala Amerul terlantar di bahu jalan.
Kedua-duanya kemudian disahkan meninggal dunia di tempat kejadian setelah cedera parah di kepala dan badan dan dihantar ke Hospital Sultanah Aminah di sini untuk dibedah siasat.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tebrau, Jasni Saidin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan itu pada pukul 6.22 pagi dan menghantar sebuah jentera bersama enam anggota ke tempat kejadian. – BERNAMA