Pemuda PAS Johor Ikrar Berdiri Teguh Di Bekalang Abdul Hadi

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda PAS (DPP) Johor Bahru menegaskan berdiri teguh di belakang Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Pemangku Ketua Pemudanya, Fakhrurrazi Abu Bakar berkata, DPP Johor memberikan sepenuh sokongan dan solidariti buat Abdul Hadi.

“Atas nama perundangan, Presiden PAS dikatakan telah melanggar Perlembagaan apabila ingin mengemukakan private members bill Undang-undang Kanun Jenayah Syariah II Kelantan.

“Ia bukan suatu kerja menggubal sesuatu yang baru melainkan hanya penambah baikan serta pindaan terhadap satu juzu’ fasal yang kecil terhadap undang-undang yang sudah sedia ada di Kelantan sejak 1992,” tegasnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sehubungan itu, Fakhrurrazi berharap empat individu yang menyaman Presiden PAS kerana mahu melaksanakan undang-undang hudud supaya mempunyai sifat memartabatkan syariat Islam.

Media sebelum ini melaporkan dua peguam daripada Majlis Peguam Malaysia dan dua penyelidik masyarakat sivil telah menyaman Presiden PAS.

Mereka dilaporkan sebagai peguam dan aktivitis pro-Pakatan Rakyat dan terlibat dalam perhimpunan Bersih bagi usaha menumbangkan kerajaan pada Ogos lalu. -Kedahnews.com