Pemuda PAS Sokong Langkah Kerajaan Tubuh KWSP Islamik

Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
KUALA LUMPUR – Pemuda PAS memuji langkah kerajaan menubuhkan KWSP Islamik (KWSP-I) seperti yang diluluskan di dalam RUU Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (Pindaan) 2015 di Dewan Rakyat.

Ketuanya, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, KWSP-I akan menjadi sebuah tabung simpanan persaraan terbesar di dunia yang mempunyai operasi patuh syariah.

“Perkembangan positif ini menunjukkan sokongan dan penerimaan masyarakat dunia terutamanya dalam menceburkan `instrument’ kewangan ke dalam industri kewangan Islam.

“Semoga dengan penubuhan KWSP-I ini akan mengukuhkan industri kewangan Islam bukan sahaja diperingkat domestik malah turut berkembang di peringkat global,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Nik Mohamad Abduh bagaimanapun mencadangkan kerajaan meneliti beberapa perkara supaya aspek pengurusan KWSP-I berada pada landasan syariah dengan lebih jitu.

Menurutnya, pembentukan jawatankuasa penasihat syariah bukan hanya sebagai penasihat kepada aspek pelaburan semata-mata tetapi harus bertindak mengawal pelaburan yang terdapat campur tangan politik.

Katanya, kerajaan wajar mempertimbangkan cadangan bagi mewajibkan setiap pencarum beragama Islam mencarum di KWSP-I untuk memastikan mereka bersih dari segala perkara-perkara yang dilarang agama.

Tambahnya, kerajaan juga diminta mempertimbangkan pembayaran zakat perniagaan sepertimana yang telah difatwakan.

“Ini sudah pasti menjadi tanggungjawab kerajaan memandangkan kerajaan berkuasa menguruskan pelaburan wang simpanan persaraan tersebut,” katanya. – Kedahnews.com