Penanda Aras IPU Malaysia Diiktiraf WHO, Jangan Pertikai - Wan Junaidi

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar
KUCHING - Perbezaan penanda aras Indeks Pencemaran Udara (IPU) berdasar parameter antara Malaysia dan Singapura bukanlah satu isu yang harus dipertikai.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, walaupun Singapura menggunakan IPU kandungan habuk halus bersaiz kurang daripada 2.5 mikrometer (PM2.5) namun penanda aras bagi keadaan udara tidak sihat lebih tinggi berbanding Malaysia.

“Sebenarnya kita mempunyai penanda aras iaitu PM10 (saiz habuk halus dalam udara kurang daripada 10 mikrometer) yang diguna pakai kebanyakan negara di ASEAN dan diiktiraf Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Di Malaysia apabila IPU mencatatkan bacaan 100 kita melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengeluar amaran kepada rakyat.

“Ini termasuk melakukan pembenihan awan tetapi perkara ini tidak dilakukan di Singapura kerana penanda aras bagi keadaan tidak sihat di negara itu lebih tinggi iaitu 200,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Sarawak di Dewan Hikmah di sini semalam.

Wan Junaidi turut memberitahu di Malaysia keadaan sangat tidak sihat diletakkan pada aras bacaan IPU 200 berbanding Singapura IPU 300.

“Pada bacaan 200 sekolah di Malaysia terjejas akibat jerebu akan diarahkan tutup tetapi di Singapura bacaan 300 barulah sekolah diarahkan tutup. Inilah perkara yang harus kita tahu.

“Jadi jangan kelirukan soalan kenapa kita tidak pakai penanda aras PM2.5 ini kerana kita sudah melakukan yang terbaik demi menjaga keselamatan rakyat di negara ini,” jelasnya.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Santubong itu berkata, ia tidak bermaksud kementeriannya tidak peka dengan keperluan penggunaan penanda aras PM2.5 tersebut.

“Kita juga mahu menggunakan PM2.5 ini tetapi ia akan dilaksanakan pada 2017 kerana ia memerlukan banyak perkara,” tambahnya.

Mengenai Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (THPA), Wan Junaidi berkata, kementeriannya akan berusaha untuk memastikan undang-undang itu dapat dilaksanakan di negara ini.

Terdahulu, beliau memberitahu penubuhan Kolej Komuniti di negara ini adalah untuk memberi peluang kepada golongan pelajar yang tidak dapat menempatkan diri di institut pengajian tinggi.

“Sejak ditubuhkan pada 1997 Kolej Komuniti telah banyak membantu memberi peluang kedua kepada pelajar yang kurang cemerlang dalam akademik untuk berjaya dalam bidang vokasional dan kemahiran teknikal,” ujarnya.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia Datuk Amir Md Noor.

Sumber: Utusan