Pencari Madu Diminta Lebih Utamakan Keselamatan Diri

Gambar Hiasan
KUALA TERENGGANU – Pencari madu lebah dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan mengutamakan keselamatan berikutan kejadian jatuh pokok sering berlaku di negeri ini.

Timbalan Pengerusi Koperasi Pemungut Madu Lebah Asli Terengganu (Kopemat), Ibrahim Ismail berkata terbaru kejadian pemungut madu lebah, Yusof Deraman, 38, mengalami kecederaan parah selepas jatuh pokok, di Besut kelmarin.

Yusof mengalami patah kaki, tangan dan tulang belakang apabila terjatuh ketika menuruni pokok setinggi 10 meter di kawasan hutan Kampung Bukit Puteri, Besut.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata kejadian itu sepatutnya menjadi iktibar kepada pencari madu lebah jika mereka mengutamakan keselamatan lebih-lebih lagi apabila tiba musim tengkujuh.

“Sesetengah pencari madu lebah aspek keselamatan ini bukan keutamaan bagi mereka…inilah yang menyedihkan. Kami akan lihat sama ada Yusof ahli koperasi atau tidak untuk disalurkan bantuan,” katanya.

Dalam hal itu, beliau menasihatkan kira-kira 100 orang pencari madu lebah asli di negeri ini menjadi ahli koperasi supaya mereka mendapat bantuan apabila ditimpa sesuatu kejadian yang tidak diingini. – BERNAMA