Penduduk Kuala Kedah Kian Tertekan Masalah Tekanan Air Terlalu Rendah


KUALA KEDAH - Penduduk di beberapa taman perumahan khususnya Taman Harapan, di sini, mendakwa tertekan berdepan masalah tekanan air rendah sejak November tahun lalu.

Difahamkan, lebih 100 keluarga berdepan kesukaran menguruskan aktiviti harian, seperti membasuh, memasak dan mandi setiap hari disebabkan masalah itu.

Penduduk, Siti Hawa Bakar, 49, berkata, masalah dialami mereka paling dirasai ketika waktu kemuncak, seperti awal pagi ataupun petang dan hari cuti.

“Akibat tekanan air rendah, saya sukar membasuh pinggan, mahupun mencuci pakaian kerana air keluar dalam bentuk titisan sahaja.

“Jika kebanyakan penduduk sudah boleh berehat, namun saya terpaksa mencuci pakaian awal pagi, antara jam 12 tengah malam hingga 2 pagi,” katanya.

Manakala, Hamidah Abdul Ghani, 51, berkata, ada penduduk mendakwa resah dan was-was mengadakan kenduri, ekoran bimbang masalah air menjejaskan kelancaran majlis berkenaan.

“Tiap hari, boleh dikatakan kami susah hati. Bayangkan, nak basuh tangan sekalipun susah dan terpaksa ke luar rumah tadah air,” katanya.

Bagi suri rumah, Esah Saad, 60, dia terpaksa mengangkut dan menadah air setiap hari bagi membolehkan urusan harian keluarganya tidak terjejas.

Bagaimanapun, katanya, dia terpaksa menanggung kesulitan, apabila seluruh badannya lenguh disebabkan kerap mengangkut baldi dipenuhi air ke dalam rumah.

Pegawai Perhubungan Awam Sada, Rofedi Sulaiman berkata, masalah tekanan air dialami penduduk sudah sampai ke pengetahuan mereka.

Bagaimanapun, katanya, masalah itu diyakini selesai melalui rancangan menaiktarafkan dan menambah Loji Pelubang.

Katanya, langkah menaik taraf ataupun menambah Loji Pelubang, sememangnya dirancang Sada dalam usaha menangani masalah tekanan air rendah di beberapa kawasan.

Rofedi berkata, dia mengharapkan penduduk di kawasan terlibat masalah tekanan air rendah sedemikian mampu bersabar sehingga masalah selesai.

Sumber: Sinar Harian