Penduduk menunjukkan keadaan tebing sungai yang terhakis. |
KUALA NERANG - Penduduk di Kampung Perik, Mukim Kurung Hitam di sini, meminta pihak berkenaan menyelenggarakan tebing sungai di kawasan itu yang terhakis.
Penduduk, Zainol Zakaria, 40, berkata, masalah itu berlaku sejak dua tahun lalu apabila kawasan berkenaan sering dilanda banjir sehingga menghakis tebing di sepanjang jalan utama kampung itu.
Katanya, bila hujan, aliran Sungai Paya Terap sangat deras dan pastinya tebing sungai itu akan terhakis.
"Masalah ini perlu diselesaikan segera kerana hakisan sudah menghampiri kawasan jalan utama.
“Sebelum ini kawasan itu ditanam dengan beberapa pokok buluh tetapi dengan aliran air yang kuat, semua pokok buluh itu sudah tumbang ke dalam sungai itu," katanya.
Menurutnya, bagi melambatkan hakisan, penduduk di kawasan itu melakukan pelbagai inisiatif termasuk menanam pokok di sepanjang sungai, namun usaha itu tidak berhasil apabila pokok yang ditanam juga tumbang.
"Proses hakisan di tebing ini juga berlaku dengan cepat kerana kandungan tanah di situ yang turut mengandungi pasir," katanya.
Zulkifli Ibrahim, 44, pula berkata, jika keadaan itu dibiarkan berterusan, ia akan membahayakan pengguna jalan raya.
Katanya, paling membimbangkan ialah pengguna jalan raya yang datang dari luar kerana mereka sudah pasti tidak akan menyangka tebing jalan itu semakin terhakis.
"Walaupun belum ada sebarang kemalangan di kawasan jalan ini tetapi kami berharap pihak berkenaan dapat mengatasinya secepat mungkin," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Perik, Jefrihisyam Nayan berkata, pihaknya berharap Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dapat meninjau dan menyelenggarakan kawasan itu.
Sumber: Sinar Harian