AKTIVIS sebuah persatuan Sikh berarak dengan membawa bendera hitam ketika mengadakan tunjuk perasaan membantah pencemaran kitab suci mereka, di Amrtisar, Punjab, semalam. |
New Delhi - Pegawai kanan di Punjab, negeri di utara India semalam mengadakan mesyuarat tergempar untuk menangani keganasan sejak beberapa hari lalu yang meletus berikutan perbuatan mencemar sebuah kitab suci Sikh.
Ratusan masyarakat Sikh menyekat jalan dan lebuh raya utama di negeri itu semalam, mendesak tindakan diambil terhadap mereka yang mengoyak 20 muka kitab Guru Granth Sahib di sebuah kuil minggu lalu.
Polis berkata, mereka menahan tiga orang yang dipercayai terbabit dalam perbuatan itu dan siasatan masih diteruskan.
Ketua Menteri Prakash Singh memberitahu wartawan, ada pihak mahu mencetuskan kekacauan di negeri itu.
Kerajaan negeri mengerahkan tentera di empat daerah bagi mengawal keadaan.
Dalam pada itu, polis semalam menerima satu lagi aduan mengenai sebuah kitab itu dicemari.
Pentadbir kuil kini meningkatkan kawalan keselamatan di semua kuil bagi menghalang perbuatan itu berterusan.
Kemarahan masyarakat Sikh di Punjab memuncak apabila polis melepaskan tembakan menyasarkan penunjuk perasaan, menyebabkan dua lelaki terbunuh. - AP