Pengundi Di Engkilili Ikrar Terus Beri Mandat Besar Pada Adenan Di Sarawak

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem
ENGKILILI - Pengundi di konstituensi Engkilili berikrar akan memberi mandat yang cukup besar kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem untuk terus mengepalai kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili Dr Johnical Rayong Ngipa, setiap komponen Barisan Nasional (BN) termasuk rakan mesra BN di kawasan ini berdiri utuh di belakang kepimpinan Adenan bagi mencapai objektif dalam memastikan kejayaan besar BN kelak.

“Ia bagi membolehkan Ketua Menteri yang kita sayangi dan sanjungi ini terus memimpin Sarawak bagi menyambung mandat yang berterusan agar terus membawa keamanan, kestabilan dan pembangunan kepada kita semua,” katanya sambil berikrar menyokong penuh Adenan sebagai peneraju kepimpinan negeri.

Beliau berkata demikian semasa penutupan Pesta Engkilili 2015 di pekan Engkilili yang turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang yang mewakili Adenan.

Katanya sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negeri kira-kira 18 bulan lalu, terlalu banyak pencapaian cemerlang dan di luar jangkaan rakyat negeri ini telah beliau lakarkan.

Dasar pentadbiran beliau yang cukup mesra rakyat di luar bandar tanpa mengabaikan keperluan dan pengundi bandar menjadikan beliau cukup popular dan disayangi rakyat tanpa mengira sempadan usia dan bangsa.


Malah jika dilihat hari ini, sekalipun Pesta Engkilili baharu pertama kali diadakan namun sambutan penduduk sangat memberangsangkan.

“Saya difahamkan, pengunjung yang datang bukan sahaja dari sekitar DUN Engkilili malah dari bahagian lain termasuk Betong, Saratok, Sibu selain Sri Aman, Serian dan Kuching,” katanya.

Ujarnya antara pencapaian cemerlang beliau setakat ini termasuk membasmi ‘penyakit’ rasuah khasnya aktiviti pembalakan haram, memansuhkan bayaran tol jambatan, membenarkan penggunaan istilah Dayak dalam borang-borang rasmi kerajaan, membenarkan penganut Kristian di Sarawak menggunakan istilah ‘Allah’ dan melarang golongan ektremis termasuk pelaksanaan hudud di negeri ini.

“Malah ketika ini beliau sedang mengadakan perbincangan penurunan kuasa autonomi daripada kerajaan persekutuan terutama dalam bidang pendidikan serta memohon royalti minyak dan gas dinaikkan sehingga 20 peratus,” katanya yang dipetik dari Utusan Borneo.

Beliau turut menambah bahawa Adenan juga telah melancarkan projek Lebuh Raya Pan Borneo bernilai berbilion-bilion ringgit di Sematan baru-baru ini bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Melihat kepada perancangan yang telah, sedang dan akan dibawa Adenan sebagai nakhoda kepada negeri ini wajar untuk kita meneruskan kesinambungan kepimpinan beliau untuk penggal seterusnya, tegasnya lagi.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Ahli Parlimen Lubok Antu, Datuk William Nyalau Badak, ADUN Batang Ai, Malcom Mussen Lamoh, Residen Sri Aman, Jonathan Lugoh, Pegawai Daerah Lubok Antu, Jack Aman Luat dan Ketua Polis Lubok Antu, DSP James Jonathan.

Selain itu, turut hadir adalah Setiausaha Majlis Daerah Lubok Antu Bilong Engkas, Jurutera Bahagian Sri Aman Cassidy Morris, ketua-ketua jabatan dan ketua masyarakat dan ahli-ahli parti komponen BN di Engkilili dan Lubok Antu. -Kedahnews.com