Penjual Nasi Lemak Maut, Pembantu Parah Akibat Kereta Terbabas

Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR – Seorang peniaga nasi lemak maut manakala pembantunya cedera parah selepas kenderaan yang dinaiki mereka terbabas dan melanggar konkrit pembahagi jalan di Jalan Jelatek di sini, hari ini.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, DSP S. Markandan berkata dalam kejadian pada 7.30 pagi itu, Mohd Razman Abdul Karim, 41, maut di tempat kejadian manakala pembantunya Siti Maryam, 37, cedera parah.

Kereta Toyata Corolla dipandu Mohd Razman dipercayai terbabas dan melanggar pembahagi jalan konkrit di antara Jalan Jelatek dan susur keluar ke Lebuhraya Duke, katanya dalam kenyataan di sini.

Mayat dan mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kuala Lumpur. – BERNAMA