Perarakan Sambutan Maal Hijrah Di Masjid Negara Pada Rabu Ini

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom
PUTRAJAYA – Sambutan Maal Hijrah peringkat kebangsaan di ibu negara Rabu depan bakal disambut dengan perarakan bagi mengambil ‘ibrah’ atau pengajaran daripada hijrah Nabi Muhammad SAW dan kaum Muslimin daripada Kota Makkah ke Kota Madinah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata kira-kira 50,000 peserta disasar menyertai perarakan yang bermula dari beberapa lokasi utama di ibu negara dan berakhir di Masjid Negara iaitu sebagai pusat sambutan.

Perarakan akan disertai penjawat awam, badan berkanun dan swasta, guru sekolah agama, imam, anggota badan beruniform, persatuan belia, pelajar, badan bukan kerajaan dan orang awam.

“Saya sendiri akan mengetuai perarakan dari Dataran Merdeka manakala kontinjen lain akan bergerak dari Padang Merbok, Masjid Jamek, Muzium Negara sementara kaum wanita dari Muzium Kesenian Islam,” katanya kepada pemberita sempena pra-pelancaran sambutan di sini hari ini.

Beliau berkata Masjid Negara buat pertama kali dijadikan pusat sambutan sempena 50 tahun ia dibangunkan sebagai mercu tanda agama Islam di negara ini.

Jamil Khir berkata sambutan tahun ini sekali lagi memilih tema ‘Perpaduan Nadi Transformasi Negara’ yang signifikan dengan situasi semasa dan bertepatan dengan usaha kerajaan dalam memperkasa prinsip penerimaan, patriotisme dan keadilan sosial.

Beliau berkata masing-masing seorang tokoh tempatan dan antarabangsa bakal menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah dengan menerima wang tunai RM100,000, plak, pingat dan sijil penghargaan.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan turut menganjurkan Forum Perdana Khas Maal Hijrah, majlis bacaan Yaasin serta doa akhir dan awal tahun, bermula pukul 6 petang pada Selasa depan di Masjid Negara, katanya. – BERNAMA