Perlu Ada Badan Untuk Jaga Kebajikan Kartunis Di Malaysia - Kartunis Pandan

Karikatur kartunis Pandan
Putrajaya - “Perlu ada satu badan bagi mengawal selia, memantau dan menjaga kebajikan kartunis tempatan,” itu kata kartunis Pandan atau nama sebenarnya Ahmad Rashdan Rahmad, 40, bagi memastikan industri kartun tempatan terus berkembang seiring perkembangan semasa.

Menurutnya, jika artis dan pekerja filem mempunyai badan khas seperti Karyawan dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), badan sama juga boleh diwujudkan untuk kartunis tempatan.

“Kartunis seperti artis dan penggiat filem mempunyai tugas sama iaitu membawa budaya Malaysia, justeru perlu ada satu badan khas memastikan kelangsungan industri kartun di negara ini,” katanya, di sini, kelmarin.

Katanya, beliau gusar dengan kecenderungan generasi muda kini yang lebih mengagung-agungkan komik dari luar negara berbanding komik tempatan.

Menurutnya, beliau mengakui industri kartun tempatan banyak terjejas dengan kebanjiran komik dan kartun dari luar negara.

“Semua pihak perlu sedar komik luar banyak mengandungi elemen tidak sesuai dengan aspek moral, agama dan budaya di negara ini.

“Bahasa yang mereka gunakan kasar dan kadang kala berunsur lucah. Semua elemen ini perlu dikawal bagi memastikan generasi muda tidak terus hanyut oleh pengaruh komik dan kartun luar negara,” katanya.

Lebih membimbangkan, katanya, produk kartun dan komik berkenaan kini mudah diperoleh kerana hanya perlu dimuat turun menerusi laman web, malah juga ditawarkan secara percuma.

Pandan berkata, bagi memastikan industri kartun tempatan terus berkembang, perlu ada usaha mengembalikan kegemilangan terutama dengan memanfaatkan teknologi terkini.

‘Saya difahamkan, produk kartun tempatan dikomersialkan dan boleh diakses menerusi aplikasi telefon bimbit yang juga ditawarkan percuma.

“Bekazon Creative Webstore antara laman sesawang selian MOY Publications Sdn Bhd yang memaparkan koleksi kartun majalah Ujang dan APO menerusi aplikasi telefon bimbit selain berfungsi sebagai kedai atas talian bagi pelbagai produk daripada kedua-dua terbitan majalah kartun itu,” katanya.

Sementara itu, bekas Ketua Unit Grafik Berita Harian, Mohd Zohri Sukimi atau nama kartunisnya, Zoy berkata, beliau menyambut baik usaha penganjuran Anugerah Kampung Boy 2015 kerana ia mampu meletakkan industri dan kartunis itu sendiri di tahap lebih berprestij.

“Anugerah itu juga mampu menaikkan kembali arena kartun negara selain memberi sokongan dan dorongan kepada kartunis untuk terus berkarya,” katanya.

Sumber: myMetro