Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Dr Chai Khin Chung |
KUCHING - Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Sarawak berharap agar pihak kerajaan dapat mewujudkan lebih banyak ibu pejabat polis daerah (IPD) serta balai polis di seluruh negeri itu.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Dr Chai Khin Chung berkata, cadangan tersebut selaras dengan pembangunan pesat negeri itu selain sebagai tindakan jangka panjang Polis Diraja Malaysia (PDRM), katanya dalam lawatan perpisahan di IPD Padawan di Siburan, di sini Rabu.
"Saya telah meninjau beberapa kawasan bersesuaian dengan pejabat Jabatan Tanah dan Ukur di bandar terlibat.
"Sebaik menerima tanah di tapak yang dicadangkan, kami akan mengemukakan permohonan menjadikannya IPD atau balai polis kepada Bukit Aman untuk pertimbangan serta peruntukan," katanya yang dipetik dari media di negeri berkenaan.
Chai berkata antara bandar yang memerlukan IPD baharu adalah Matu-Daro dan Dalat di Bahagian Mukah dan bandar Serian.
"Bagi balai polis baharu, kawasan yang memerlukannya adalah Oya dan Belawai di Bahagian Mukah, Senadin dan Taman Tuanku di Miri serta MatangJaya di Kuching," katanya.
Chai berkata, setakat ini kerajaan negeri menyambut baik permohonan mendapatkan tapak tersebut.
Katanya, ketika ini terdapat 28 IPD serta 81 balai polis di seluruh negeri itu.
Chai juga berkata Ibu Pejabat Polis Kontinjen akan mempertimbangkan untuk meletakkan anggotanya serta mewujudkan infrastruktur yang diperlukan di Empangan Bakun dan Empangan Hidro Murum di Bahagian Kapit pada masa hadapan.
"Ketika ini, kami bekerjasama dengan Sarawak Energy Berhad yang mengendalikan kedua-dua empangan itu untuk mengadakan polis bantuan bagi mengawal keselamatan di kawasan tersebut.
"Apabila ekonomi dan aktiviti pelancongan meningkat, kami akan meletakkan anggota polis di sana," katanya.
Sementara itu, Chai yang berkhidmat selama 36 tahun bersama PDRM akan bersara wajib mulai esok. -Kedahnews.com