Peruntukan RM450 Juta Untuk Bina Menara Telekomunikasi Di Sarawak


KUCHING – Kerajaan telah memperuntuk kira-kira RM450 juta bagi membina menara telekomunikasi di negeri Sarawak, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata peruntukan yang disalurkan kepada Suruhajaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) itu bertujuan meningkatkan penembusan jalur lebar atau menyediakan perkhidmatan telekomunikasi yang lebih baik di negeri ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak
Pembinaan 149 menara telekomunikasi sedang dilaksanakan manakala 85 lagi masih dalam peringkat perancangan, katanya katanya kepada pemberita pada majlis perjumpaan dengan pegawai Jabatan Penerangan Negeri di sini hari ini.

“Ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan persekutuan bagi memastikan rakyat Sarawak terutama di kawasan luar bandar menikmati kemudahan jalur lebar atau perkhidmatan Internet.

“Sebab itu kerajaan persekutuan menyediakan peruntukan yang besar untuk menjayakan misi ini,” katanya.


Salleh berkata SKMM akan turut melaksanakan beberapa projek pembangunan telekomunikasi di Sarawak termasuk Projek Sistem Kabel 1Rakyat Malaysia (SKR1M) yang melibatkan pembinaan kabel rangkaian dasar laut baharu yang menghubungkan Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.

“Dalam hal ini, empat sambungan kabel dasar laut akan dibina di Mersing, Kuching, Miri dan Bintulu bermula pada suku kedua tahun depan,” katanya.

Beliau berkata turut diberi perhatian ialah penyediaan kemudahan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) Fasa 2 yang bertujuan memperluaskan liputan jalur lebar berkelajuan tinggi dengan kelajuan sehingga 100Mbps di kawasan bandar dan sebanyak 34,566 ‘port’ akan disediakan bermula tahun ini.


Salleh berkata projek tambahan lain yang akan dilaksanakan di Sarawak ialah Projek Jalur Lebar Pinggir Bandar (SUBB), Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) dan Wifi Komuniti (WK) yang menyediakan capaian Internet tanpa wayar (WiFi) secara kolektif kepada masyarakat luar bandar di kawasan yang mendapat kurang liputan.

Beliau berkata jumlah peruntukan yang dibelanjakan untuk tujuan projek pembangunan SKMM lain di Sarawak bagi tempoh antara 2010 hingga 2015 ialah sekitar RM134.2 juta. – BERNAMA