Pinjaman RM50k Tanpa Faedah Untuk Rumah Panjang Tepati Kos Semasa

Gambar Hiasan
KUCHING - Peningkatan had pinjaman bagi pembinaan rumah panjang sebanyak RM50,000 dilihat sebagai langkah tepat.

Menurut Menteri Muda Pembangunan Belia (Luar Bandar) Datuk Dr Stephen Rundi Utom, jumlah pinjaman itu wajar dinaik dengan mengambil kira harga semasa bahan pembinaan.

“Sudah tiba masanya kerajaan mengambil kira jumlah pinjaman (pembinaan rumah panjang) perlu ditambah memandangkan harga semasa bahan binaan kian meningkat.

“Jumlah pinjaman antara lingkungan RM10,000 untuk pelbagai RM50,000 akan menyediakan fleksibiliti kepada peminjam berdasarkan kemampuan membayar balik pinjaman,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai sejumlah RM70 juta akan disediakan melalui Bank Simpanan Nasional dengan kerjasama kerajaan Sabah dan Sarawak bagi pinjaman tanpa faedah untuk tujuan membina rumah panjang dengan had pinjaman RM50,000 untuk setiap unit rumah panjang.

Sementara itu, Pegawai Daerah Bau Inting Nyami menyifatkan Bajet 2016 sebagai menjaga kebajikan rakyat khasnya penduduk luar bandar.

Perkara itu dicerminkan dengan peruntukan RM70 juta sebagai subsidi baja padi huma akan disediakan untuk meningkatkan bekalan makanan dan pendapatan penanam padi huma, meliputi kawasan seluas 65,000 hektar di Sarawak dan 11,000 hektar di Sabah, selain peningkatan jumlah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Katanya, ia turut mencerminkan kerajaan yang prihatin dan mengambil berat masalah rakyat dengan keadaan ekonomi semasa.

“Pada pendapat saya, ia banyak membantu rakyat khasnya kawasan luar bandar,” katanya.

Sumber: UB