Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad |
ALOR SETAR - Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad mengecam sistem perundangan Malaysia yang dikatakan bersifat jumud dan tidak relevan khususnya berhubung hal yang membabitkan hak asasi rakyat.
Kata ketua sayap PKR itu, di zaman yang memerlukan "kebebasan" sepenuhnya, tafsiran undang-undang negara tentang hak berhimpun adalah bertentangan dengan amalan demokrasi yang "bebas" untuk melakukan apa saja.
"Dalam era global dan penuh kebebasan ini, tafsiran undang-undang berkenaan hak asasi dengan cara yang jumud adalah tidak relevan, malah ia bertentangan dengan perkembangan Malaysia sebagai negara yang bebas dan demokratik," katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Nik Nazmi dilaporkan berkata sedemikian ketika mengulas mengenai keputusan Mahkamah Rayuan yang tidak memihak kepada Setiausaha Kerja PKR Johor, R.Yuneswaran dalam kes perhimpunan haram, Perhimpunan Black 505, pada 2013.
Difahamkan bahawa Yuneswaran di bawah Akta Perhimpunan Aman telah didapati bersalah dan disaman sebanyak RM6,000 kerana gagal memberi notis 10 hari sebelum perhimpunan yang bertujuan untuk mendesak mahkamah melepaskan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dari tuduhan jenayah liwat terhadap Saiful Bukhari Azlan.
Kata Nik Nazmi lagi, keputusan yang dibuat Mahkamah Rayuan itu kononnnya membuktikan hak asasi yang termaktub di dalam Perlembagaan semakin pudar akibat tafsiran yang terbatas oleh sistem kehakiman negara.
"Ini mengisyaratkan era hak asasi yang termaktub di dalam Perlembagaan semakin samar akibat pentafsiran yang terhad oleh mahkamah,” katanya.
PKR dan pihak pembangkang dikatakan sebelum ini bersorak memuji sistem kehakiman negara sebagai adil dan telus jika keputusan mahkamah memihak kepada mereka, manakala bertindak sebaliknya mengecam badan perundangan itu sebagai 'anjing kerajaan' jika tidak memihak kepada mereka dalam membuat keputusan. -Kedahnews.com