PKR Mahu PAS Dan PSM Sertai Pakatan Harapan, Gesa Amanah Jangan Masuk Campur


KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) menegaskan tetap komited untuk membawa masuk PAS dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) dalam Pakatan Harapan.

Majlis Pimpinan Pusat PKR dalam satu kenyataan media memberitahu, perkara itu diputuskan dalam satu mesyuarat PKR semalam.

“PKR komited untuk memantapkan Pakatan Harapan sebagai satu gabungan politik yang inklusif.

“Keanggotannya akan diperbesar kepada rakan politik yang sehaluan termasuk PAS, PSM, dan parti-parti dari Sabah dan Sarawak,” tegas kenyataan itu malam tadi.

DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) menentang kuat penyertaan PAS dalam Pakatan Harapan kerana mengganggap pemimpin PAS sebagai golongan penipu dan pengkhianat.

Amanah turut membantah penyertaan PSM kerana membantah Perlembagaan Negara mengenai hak keistimewaan Bumpitera.

PSM dilihat ramai sebagai sebuah parti yang tidak sesuai di negara ini memandangkan ideologi sosialis mengenepikan aspek agama.

Selain itu, PKR dalam kenyataan itu menyeru semua parti pembangkang agar menghentikan perbalahan dan serangan antara satu sama lain.

PKR turut membidas Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Faiz Fadzil dan menasihati beliau supaya menghormati perbedaan pandangan masing-masing dan tidak mencampuri urusan dalaman parti PKR.

“PKR berhak untuk mendirikan kerjasama dua-hala di pelbagai peringkat jika perlu,” tegas kenyataan itu.

Faiz baru-baru ini menggesa PKR supaya meninggalkan PAS dan meminta Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali tidak terhegeh-hegeh meminta PAS menyertai Amanah. -Kedahnews.com