PKR Tampil 6 Calon Wanita Mahu "Jajah" Sarawak Dari BN


KUCHING - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak dijangka menampilkan sekurang-kurangnya enam calon wanita untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.

Pengarah Pilihan Raya Wanita PKR Haniza Talha berkata kawasan yang akan ditandingi ialah Tupong, Simunjan, Simanggang, Marudi termasuk kerusi baharu, Batu Kitang dan Serumbu.

“Wanita PKR telah menyediakan calon-calon wanita yang muda, profesional dan berkredibiliti untuk bertanding dalam PRN Sarawak nanti,” katanya semasa melancarkan Jentera Pilihan Raya Wanita Keadilan (WIN) Sarawak di sini, baru-baru ini.

Bagaimanapun, hanya empat nama calon wanita PKR itu didedahkan iaitu Nur Hanim Moshen, Athina Klaywa Sim, Elia Bit dan Voon Shiak Ni.

Haniza yang juga ketua Wanita PKR Pusat merangkap ADUN Taman Medan menjelaskan bahawa kesemua calon tersebut juga merupakan anak tempatan.

“Calon-calon wanita PKR ini memiliki kredibiliti untuk berkhidmat kepada rakyat dan sesetengah daripada mereka adalah berpengetahuan dalam undang-undang.

“Dengan keupayaan tersebut, mereka akan mampu membuat perubahan yang berkesan dari segi undang-undang,” katanya.

Mengulas mengenai jentera pilihan raya, beliau berkata WIN merupakan pasukan yang merangkumi golongan wanita berpengalaman dari seluruh Malaysia yang telah menjalani latihan intensif untuk mengenal pasti pengundi, menjalankan tinjauan dan menganalisis keputusan serta untuk memenangi kerusi.

“Enam daripada pemimpin zon kebangsaan kami akan ‘mengendalikan’ setiap kawasan yang ditandingi sebagai persiapan untuk Pilihan Raya Negeri nanti,” katanya.

Sementara itu, Voon yang juga naib pengerusi Wanita PKR Pusat berkata Wanita PKR Negeri tidak menerima sebarang bantahan ke atas enam kerusi yang akan ditandingi mereka.

“Bagaimanapun, kami tetap akan berunding dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Pakatan Amanah untuk memuktamadkannya,” katanya.

Turut hadir Naib Pengerusi PKR Sarawak See Chee How.

Sumber: UB