PM Beri Tempoh 7 Hari Kepada Liong Sik Untuk Mohon Maaf


ALOR SETAR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan beliau telah mengarahkan peguamnya menuntut bekas presiden MCA, Tun Ling Liong Sik menarik balik dan memohon maaf kepada beliau kerana memfitnah.

Perdana Menteri dalam catatan di Facebook rasmi beliau memaklumkan, Liong Sik diberi tempoh selama tujuh hari untuk berbuat demikian atau bakal berhadapan dengan tindakan undang-undang.

“Saya telah mengarahkan peguam saya menghantar surat guaman kepada Tun Ling Liong Sik untuk menuntut beliau memohon maaf atas kenyataannya baru-baru ini yang berunsur fitnah.

“Dalam masa tujuh hari selepas menerima surat itu, jika Tun Ling tidak berbuat demikian, saya akan mengambil tindakan undang-undang seterusnya,” kata Najib hari ini.



Liong Sik didakwa memfitnah Najib melalui artikel yang disiarkan The Malay Mail Online bertajuk ‘MCA’s Liong Sik joins call for Najib’s ouster for allegedly putting people’s money in his own pocket’ pada 3 Oktober lalu. -Kedahnews.com