Polis Siasat Dakwaan Ada Pihak Kutip Derma Untuk 7 Murid Orang Asli


KOTA BHARU - Polis Kelantan akan menyiasat dakwaan bahawa terdapat pihak tidak bertanggungjawab mengutip derma di laman sosial kononnya untuk disalurkan kepada tujuh murid Orang Asli SK Tohoi yang hilang pada 23 Ogos lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata polis akan mengambil tindakan jika siasatan itu mendapati terdapat pihak yang cuba mengambil kesempatan daripada kejadian berkenaan.

"Polis akan siasat kalau ada isu sebegini kerana ia mengambil kesempatan. Kita tidak mahu ada mana-mana yang cuba mengaut keuntungan daripada kes ini," katanya di sini pada Isnin.

Selain itu, Mazlan turut menasihatkan orang ramai supaya menghentikan segala tohmahan kepada pasukan penyelamat yang didakwa sengaja melambatkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).


Beliau berharap orang ramai bersabar serta mengelak daripada membuat spekulasi, sebaliknya merujuk kepada pihak polis bagi sebarang pengesahan maklumat.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, tumpuan pencarian diteruskan di sepanjang Sungai Perias dan Sungai Neggiri bagi mengesan seorang lagi mangsa.

Katanya, dua mayat dan dua rangka manusia sudah dihantar ke Jabatan Kimia di Petaling Jaya pada Ahad untuk pengesahan identiti.

Pada 23 Ogos lepas, tujuh murid Orang Asli iaitu enam perempuan dan seorang lelaki berusia antara tujuh dan 11 tahun dari SK Tohoi, bertindak melarikan diri dari asrama sekolah kerana takut dikenakan tindakan oleh guru selepas mereka dikesan mandi di sungai tanpa kebenaran.

Tujuh murid terbabit ialah Juvina David, 7; Linda Rosli, 8; Sasa Sobrie, 8; Ika Ayel, 9; Haikal Yaakob, 8; Norieen Yaakob, 10; dan Miksudiar Aluj, 11 - kesemuanya berasal dari Kampung Gawin dan Penad.

Setakat Isnin, hanya dua kanak-kanak dijumpai selamat oleh pasukan pencari iaitu Norieen dan Miksudiar manakala pencarian seorang lagi kanak-kanak yang masih hilang masih diteruskan.

Sumber: Awani