Polis Wanita Mengaku Tidak Bersalah Terima Suapan RM12,000

SHAH ALAM – Seorang anggota polis wanita berpangkat Koperal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menerima suapan RM12,000 daripada seorang ahli perniagaan bagi melepaskan enam rakyat China daripada tahanan polis, empat bulan lepas.

Roslinda Hamid, 48, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Sabariah Atan.

Roslinda yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah, Balai Polis Klang Utara didakwa memperoleh suapan RM12,000 daripada Datuk Ng Tong Chun untuk dirinya melalui Lans Koperal Detektif Daneshkumar Jeganathan dan Sarjan Mejar Detektif Wong Shim Kuang sebagai upah melepaskan enam warganegara China yang ditahan polis untuk siasatan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1959/63.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tempat letak kereta sebuah restoran di Klang kira-kira 2.10 petang pada 24 Jun lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) Akta sama yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi.

Roslinda juga mengaku tidak bersalah terhadap satu lagi pertuduhan memiliki satu cop berbunyi “DITERIMA; PEJABAT IMIGRESEN NEGERI SELANGOR; BAHAGIAN PENGUATKUASA” dan satu cop “Amirul Ariffin Lakimim, Pegawai Imigresen Tinggi KP22” bagi membuat teraan dengan niat untuk digunakan bagi melakukan pemalsuan di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Jika sabit kesalahan, anggota polis itu boleh dihukum mengikut Seksyen 473 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Di mahkamah sama, Daneshkumar yang bertugas di Bahagian Cawangan Khas, Balai Polis Klang Selatan, mengaku tidak bersalah bersubahat dengan Roslinda iaitu menerima suapan sebanyak RM12,000 daripada Ng untuk diberi kepada Roslinda bagi tujuan serupa di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Hakim Sabariah membenarkan Roslinda dibebaskan dengan jaminan RM12,000 dan Daneshkumar RM8,000, masing-masing dengan seorang penjamin dan menetapkan untuk sebutan semula kes pada 3 Dis depan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mahamad Sukri Seman sementara kedua-dua anggota polis itu diwakili peguam Azrul Zulkifli dan Chen Tek Lee. – BERNAMA