Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Datuk Patinggi Haji Adenan Satem bakal diuji mengetuai BN pada PRN Sarawak kali ini |
MIRI - Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senadin dijangka menjadi salah satu kerusi paling panas di utara negeri ini, kerana ia mungkin menyaksikan pertarungan lima penjuru bagi merebut kerusi tersebut.
Ini kerana masing-masing parti politik yang ada di sini, sudah menyuarakan minat masing-masing untuk meletakkan calon ‘boleh menang’ mereka di kerusi tersebut.
Selain SUPP yang mewakili Barisan Nasional (BN) semenjak kerusi tersebut diperkenalkan pada 1996, empat parti politik lain iaitu UPP, DAP, PKR dan PAS, turut berminat meletakkan calon di situ.
Ia tidak termasuk Bebas, yang mungkin turut serta untuk memeriahkan lagi perebutan di kerusi berkenaan.
Penyandang kerusi (SUPP-BN), Datuk Lee Kim Shin pula menang tipis dengan hanya 85 undi mengalahkan calon PKR, Dr Michael Teo pada pilihan raya negeri ketika itu, dengan keputusan Lee memperolehi 7,334 undi manakala Dr Teo (PKR) memperolehi 7,276 undi.
Dr Teo kemudiannya memenangi kerusi Parlimen Miri pada Pilihan Raya Umum (PRU) pada 2013.
Situasi ini mengukuh lagi keyakinan dan kenyataan oleh parti lain bahawa mereka mampu mengubah keputusan di kerusi Senadin pada PRN akan datang ini.
Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee berkata PAS turut mengintai kerusi berkenaan, telah mengadakan perbincangan dengan PKR, bagi ‘mendapatkan’ kerusi berkenaan.
Bagaimana pun katanya, keputusan perbincangan tersebut bergantung kepada keadaan politik semasa pada ketika itu kelak (menjelang PRN).
“Ia bakal menyaksikan pertembungan lima penjuru atau lebih dengan kehadiran calon dari SUPP, UPP, DAP, PKR, PAS dan mungkin juga akan ada Bebas yang muncul di saat-saat akhir,” katanya di sini, kelmarin.
Sumber: Borneo Post