Program RIMUP Pupuk Perpaduan Bermula Di Sekolah Rendah - Mahdzir Khalid

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
PORT DICKSON – Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) perlu diperluas dan dipertingkat agar semangat perpaduan di kalangan rakyat negara ini dapat dipupuk bermula di peringkat sekolah rendah, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata pelaksanaan program RIMUP memberi peluang kepada murid-murid pelbagai kaum daripada berlainan jenis atau aliran sekolah berinteraksi melalui aktiviti integrasi atau perpaduan.

“Saya berharap peruntukan untuk program RIMUP ini akan ditambah tahun hadapan supaya lebih banyak sekolah-sekolah di seluruh negara dapat menyertai program ini.

“Kementerian juga bercadang memperbesarkan lagi program RIMUP menjadi sebuah aktiviti yang komprehensif dan kita akan pelbagaikan lagi aktiviti,” katanya kepada pemberita pada Khamis.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penutup Program Kem Perpaduan Malaysia, Pertandingan Tarian dan Perhimpunan Perpaduan RIMUP peringkat Kebangsaan 2015 di Lukut dekat sini.

Mahdzir berkata pelaksanaan program RIMUP membolehkan murid-murid dari sekolah yang berlainan aliran dapat berinteraksi sesama mereka melalui aktiviti-aktiviti seperti tarian dan kebudayaan.

“Melalui RIMUP ini juga menunjukkan murid-murid dari pelbagai budaya, kaum dan seni duduk dalam satu bumbung, berkumpul dan berkenal-kenalan dari usia yang muda,” katanya.

Sementara itu, Mahdzir berkata penyalahgunaan media sosial pada masa kini menyebabkan semangat perpaduan di kalangan rakyat negara ini semakin rapuh.

“Ambil contoh kes di Plaza Low Yatt, ia berpunca hanya dari salah faham antara peniaga dan pembeli tetapi peristiwa tersebut telah disemarakkan melalui media sosial yang menggugat perpaduan sesama kita.

“Jika kita tak kawal (maklumat dari media sosial), ia boleh menjadi punca kepada ketegangan kaum di negara ini,” katanya. – BERNAMA