Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Anti Pengganas Cawangan Khas (E8) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay |
KUALA LUMPUR - Proses untuk mengesktradisi suspek militan kumpulan Negara Islam (IS) warga Kosovo yang ditahan Bukit Aman ke Amerika Syarikat (AS) akan memakan masa lama kerana perlu melalui beberapa proses perundangan yang ketat.
Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Anti Pengganas Cawangan Khas (E8) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata ini kerana pejabat peguam negara AS perlu membuat permohonan terlebih dahulu kepada negara ini bagi memohon kebenaran ekstradisi sebelum dibawa ke mahkamah untuk diputuskan.
Katanya, AS mempunyai tempoh 60 hari untuk membuat permohonan dan ekstradisi menghantar pulang suspek ke negara itu untuk didakwa dan dibicarakan hanya boleh berlaku sekiranya dibenarkan, bergantung kepada keputusan mahkamah.
"Suspek masih ada di sini (Malaysia). Dia direman selama 60 hari di bawah 'Provisional Warrant of Arrest' (waran tangkap sementara) yang dikeluarkan oleh mahkamah sementara menunggu proses untuk ekstradisi.
"Proses itu (ekstradisi) memakan masa kerana ia membabitkan perundangan kedua-dua negara, boleh jadi ambil masa sehingga setahun lamanya," katanya ketika dihubungi BH, semalam.
Bagaimanapun, Ayob tidak mendedahkan sama ada permohonan untuk mengektradisi suspek sudah dibuat atau tidak.
Sebelum itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi satu kenyataan Khamis lalu berkata, suspek berusia 20 tahun ditahan 15 September lalu dikesan menyamar sebagai pelajar dalam jurusan sains komputer dan komputer forensik di sebuah institut pengajian tinggi swasta untuk menggodam pangkalan data komputer pasukan keselamatan AS.
Suspek yang memasuki negara ini sejak Ogos tahun lalu menggunakan pas pelajar mempunyai kepakaran menggodam server komputer dan siasatan mendapati suspek ada berkomunikasi dengan salah seorang pemimpin kanan kumpulan militan IS di Syria.
Suspek kini ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan turut ditahan mengikut Akta Ekstradisi 1992 sementara menunggu prosiding ekstradisi ke AS selesai.
Sementara itu, Jabatan Keadilan AS dalam kenyataan yang dikeluarkan kelmarin mendedahkan identiti suspek dikenali sebagai Ardit Ferizi atau nama godamnya 'Th3Dir3ctory' dan mengetuai kumpulan penggodam yang dinamakan 'Kosovo Hacker's Security'.
Menurut kenyataan itu lagi, tangkapan suspek dibuat berdasarkan waran tangkap sementara yang mendakwanya memberikan sokongan material kepada IS dan melakukan penggodaman komputer serta mendedahkan maklumat peribadi (PII) pegawai kerajaan dan anggota perkhidmatan AS.
Sumber: Berita Harian