Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan |
KUALA LUMPUR – Proses pengambilan guru terlatih Bahasa Inggeris dari India di bawah program Jurulatih Pakar Pembangunan Prestasi Sekolah (SISC+) akan selesai dalam masa terdekat, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Pendidikan P. Kamalanathan berkata kesemua guru itu akan ditempatkan di beberapa sekolah luar bandar seluruh negara termasuk sekolah-sekolah ‘hot spot’ bagi membantu guru Bahasa Inggeris tempatan meningkatkan kompetensi di bawah dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).
“Memang menjadi salah satu agenda kementerian untuk membawa guru-guru terlatih dari India dalam masa terdekat untuk tambah baik mutu penggunaan Bahasa Inggeris dalam pembelajaran sekolah-sekolah luar bandar di negara ini,” katanya.
Beliau menjawab soalan Che Mohamad Zulkifly Jusoh (BN-Setiu) yang ingin tahu tentang cadangan kementerian membawa masuk guru-guru terlatih Bahasa Inggeris dari India ke negara ini.
Kamalanathan berkata program SISC+ itu mampu meningkatkan kesedaran guru kepada amalan pengajaran yang lebih efisien di samping pengurusan sekolah yang lebih cekap.
Menjawab soalan asal Che Mohamad Zulkifly mengenai status kualiti pendidikan negara menjelang berakhirnya gelombang pertama Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2015, Kamalanathan berkata pelaksanaan inisiatif PPPM telah menampakkan hasil melalui beberapa pencapaian awal yang memberangsangkan.
“Daripada 1.3 juta murid yang melalui proses saringan program Linus 2.0 tahun lepas, 98.7 peratus murid Tahun Tiga telah berjaya menguasai literasi asas Bahasa Melayu, 99 peratus menguasai numerasi asas manakala 83 peratus murid Tahun Dua berjaya menguasai literasi asas Bahasa Inggeris,” katanya.
Tambahnya, pada tahun lepas juga sebanyak 62 modul intervensi Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) dan Program Penilaian Murid Antarabangsa (PISA) telah dibangunkan sebagai langkah jangka panjang bagi memastikan standard kurikulum serta penilaian kebangsaan.
Kamalanathan berkata syarat pengambilan guru baharu telah diperketatkan bagi memartabatkan profesion perguruan dengan 100 peratus guru pelatih baharu yang diambil pada 2014 memperoleh sekurang-kurangnya 5A di dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.
“Bagi mereka yang mendaftar program Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua atau TESL pula perlu mendapat gred A untuk subjek Bahasa Inggeris,” katanya.
Pelaksanaan pelbagai inisiatif di bawah gelombang pertama PPPM adalah bagi mengurangkan jurang pencapaian sekolah bandar dan luar bandar yang agak ketara kini selain membuahkan lebih banyak kejayaan bukan sahaja dari aspek prestasi akademik malah pengurangan jurang sosioekonomi murid luar bandar menjelang 2020. – BERNAMA