Gambar Hiasan |
PUTRAJAYA – Purata satu hingga dua kejadian bunuh diri dilaporkan berlaku di Malaysia setiap hari, menurut statistik Pendaftaran Bunuh Diri Kebangsaan Malaysia bagi tempoh 2008 hingga 2010.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata berdasarkan statistik itu, sejumlah 1,100 kes bunuh diri dilaporkan dalam tempoh tiga tahun itu dengan nisbah lelaki berbanding wanita 2:1.
“Ini hanyalah berdasarkan kes bedah siasat (post mortem) dan statistik sebenar berkemungkinan lebih tinggi,” katanya dalam ucapan perasmian seminar ‘Sayangi Nyawa, Hidupkan Harapan’ bersempena bulan pencegahan bunuh diri 2015 di sini Khamis.
Objektif seminar berkenaan ialah meningkatkan pengetahuan peserta yang terdiri daripada pengamal perubatan dan pakar psikologi mengenai pengendalian tingkah laku bunuh diri, epidemiologi dan faktor-faktor penyebab bunuh diri di Malaysia.
Dr Noor Hisham berkata, statistik Pusat Informatik Kesihatan, Kementerian Kesihatan untuk tempoh lima tahun (2010-2014) pula menunjukkan sejumlah 338 kematian di hospital-hospital kementerian adalah disebabkan oleh perbuatan mencederakan diri atau ‘intentional self-harm’.
Menurutnya, tingkah laku bunuh diri boleh berlaku akibat pelbagai faktor kompleks yang saling berkait antaranya gangguan mental terutamanya kemurungan, penyalahgunaan dadah dan substans, tragedi kehidupan seperti masalah kewangan, hilang pekerjaan, konflik hubungan (perpisahan, perceraian), kemiskinan, penyakit fizikal serta mempunyai sejarah bunuh diri dalam keluarga.
Dr Noor Hisham berkata tingkah laku bunuh diri meliputi spektrum idea bunuh diri, rancangan bunuh diri, cubaan bunuh diri dan aksi bunuh diri.
Tambah beliau, kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2011 menunjukkan prevalen idea bunuh diri dalam kalangan masyarakat dewasa Malaysia adalah 1.7 peratus, prevalen rancangan bunuh diri 0.9 peratus dan prevalen cubaan bunuh diri adalah 0.5 peratus.
Beliau berkata sebanyak 45 hospital kerajaan di seluruh negara memberikan perkhidmatan psikiatri dan kesihatan mental dengan sejumlah 224 pakar psikiatri dan 12 pegawai psikologi (klinikal). – BERNAMA