Ratu Dangdut Indonesia, Inul Daratista |
JAKARTA - Pihak Polis Indonesia mengesahkan 12 mangsa terbunuh manakala 71 lagi mangsa cedera dalam satu kebakaran membabitkan pusat karaoke milik Ratu Dangdut Indonesia, Inul Daratista, yang terletak di Mega Megamas, Manado, Sulawesi Utara awal pagi tadi.
Portal berita tempatan melaporkan bahawa Ketua Polis Daerah Manado, Rio Permana menjelaskan bahawa dalam kejadian pukul 1 pagi itu, pusat karaoke yang diberi nama Inul Vizta Manadodi yang terletak di tingkat tiga sebuah kompleks sedang padat dengan pengunjung berhibur.
Difahamkan juga bahawa kebanyakan pengunjung dilapor tidak menyedari kebakaran itu kerana mereka asyik berhibur dan hanya melarikan diri setelah ternampak api mula marak.
Bagaimanapun dilaporkan ramai yang terperangkap kerana hanya ada satu sahaja pintu keluar dan menyebabkan ramai yang menyelamatkan diri dengan terjun dari tingkat dua dan tiga.
Kesemua mangsa yang meninggal dan cedera dibawa ke Hospital Kandou Malalayang, Manado.
Kebakaran yang dipercayai akibat litar pintas itu bagaimanapun dapat dikawal sepenuhnya pada kira-kira pukul 3.30 pagi kemudiannya.
Sementara itu, Inul yang popular dengan tarian gelek 'gerudi Inul' dipetik dalam laman Instagramnya hanya memberi komen mengatakan kejadian yang mengorbannya 12 nyawa itu memberi peringatan kepadanya untuk mengambil langkah lebih baik pada masa akan datang. -Kedahnews.com