Ahmad Dhani Prasetyo |
JAKARTA – Ribuan pengunjung Gedung Sarinah, sebuah kompleks beli-belah terkenal di Menteng, Jakarta Pusat gempar apabila salah satu tingkat di bangunan perniagaan tertua itu hangus terbakar dijilat api, pada Khamis.
Lebih mengejutkan, kebakaran besar berkenaan tercetus di sebuah pusat karaoke terkenal milik penyanyi, komposer dan pemuzik ternama Indonesia, Ahmad Dhani Prasetyo atau lebih popular juga disebut Ahmad Dhani.
Menurut laporan jurucakap polis tempatan, kejadian tersebut yang mendapat liputan luas semua media dipercayai berpunca daripada dapur pusat karoake Ahmad Dhani yang dikenali sebagai Masterpiece ini.
Ahmad Dhani, 43 tahun; yang berasal dari Surabaya serta terkenal menerusi kumpulan Dewa 19 pernah sukses pada era 1990-an dan 2000-an lalu termasuk di negara jiran, Malaysia dan Singapura.
Sementara itu, suami kepada Mulan Jameela ini ketika dipetik oleh beberapa portal berita tempatan menyifatkan kebakaran tersebut berlaku kemungkinan disebabkan kelalaian salah seorang pekerjanya sendiri.
Berikutan itu, pihak polis Jakarta sedang menyiasat apakah punca sebenar kejadian berkenaan termasuk menilai semula dari rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar pusat karaoke eksklusif tersebut.
Gedung Sarinah setinggi 15 tingkat yang dirasmikan oleh presiden pertama Indonesia, Soekarno pada 1967 merupakan pusat beli-belah pertama di republik itu dan juga popular dalam kalangan pelancong asing.
Dalam kejadian berkenaan, dua orang pekerja Ahmad Dhani dilaporkan turut mengalami kecederaan ringan dan telah dibawa ke sebuah hospital yang berdekatan. -Kedahnews.com