#PWC2015: Piala Dunia Bakal Berlangsung Di Langkawi, 29 Okt - 1 Nov


MUNGKIN ramai tidak tahu bahawa Malaysia menganjurkan kejohanan bertaraf dunia pada setiap tahun. Mungkin kurang gah seperti Kejohanan Piala Dunia World Cup yang berlangsung pada setiap empat tahun, namun penganjuran Kejohanan Paintball Piala Dunia di Langkawi sememangnya amat membanggakan, khususnya buat rakyat Kedah.

Percaya atau tidak, penganjuran Kejohanan Paintball Piala Dunia di Langkawi sebelum ini pernah meraih pelbagai pengiktirafan bertaraf dunia seperti Kejohanan Paintball Terbaik Dunia pada 2011 dari Badan Paintball Dunia.

Malah sejak 2011 lagi, kejohanan paintball yang dianjur oleh anak kelahiran Kedah itu juga diiktiraf sebagai acara paintball bertaraf lima bintang di peringkat antarabangsa, selain berjaya mencipta nama di Malaysia Book Of Records.

Lokasi kejohanan, Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri, Langkawi
Pada 29 Oktober ini, akan berhimpun lebih 4,000 orang peserta dari seluruh dunia di pulau lagenda itu bagi memeriahkan kejohanan paintball yang diiktiraf bertaraf lima bintang dan terbaik dianjurkan bagi sukan lasak itu.

Dianjurkan hingga 1 November depan di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri, Kejohanan Paintball Piala Dunia 2015 bakal menyaksikan medan tempur pasukan-pasukan terbaik dunia beraksi "perang", menggegarkan Langkawi.


Menurut Pengarah Operasi Kejohanan, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri, sebanyak 138 pasukan dari 38 buah negara telah mengesahkan penyertaan di kejohanan berprestij itu dan terdiri dari pasukan-pasukan profesional ternama dunia seperti Dynasty, Houston Heat, Ton Tons, Infamous dan sebagainya.

Katanya, kejohanan kali ini turut menyaksikan pasukan dari 24 negara mewakili nama negara masing-masing bagi kategori National Division, satu kategori baru yang dicetus bagi menghangatkan lagi kejohanan sukan tempur bersenjata tersebut.


Selain itu, difahamkan juga bahawa Expo Paintball 2015 yang turut berlangsung ketika kejohanan itu juga bakal menampilkan penyertaan para pembekal peralatan paintball terkemuka dunia seperti DYE, Planet Eclipse, Lux, HK Army, Anthrax, dan S2.

Tidak ketinggalan, pembekal peralatan paintball tempatan seperti Napshot dan Skirmish juga akan turut memperagakan produk-produk berkualiti tinggi mereka di expo berkenaan.

Paling menarik, kejohanan tersebut kali ini bakal menyaksikan para pengunjung akan menyaksikan para peserta melakukan acara perbarisan sebagai membuka tirai Kejohanan Paintball Piala Dunia 2015.


Lebih manis lagi, kejohanan paintball bertaraf dunia turut mendapat restu dan sokongan penuh dari Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, yang sudi melancarkan perasmian kejohanan berkenaan baru-baru ini.

Jadi, apa tunggu lagi? Jom kita serbu menyaksikan Kejohanan Paintball Piala Dunia 2015 di Langkawi pada 29 Oktober hingga 1 November ini beramai-ramai! -Kedahnews.com