Rakyat Lundu Bakal Nikmati Kehidupan Lebih Baik - Adenan Satem

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.
LUNDU - Penduduk Lundu akan dilimpahi pelbagai projek pembangunan sama ada berskala besar mahupun kecil di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

Sejak Adenan mengambil alih pucuk kepimpinan negeri, pelbagai projek disalur di kawasan ini meliputi aspek infrastruktur, pendidikan, pelancongan dan lain-lain projek memanfaat penduduk.

Berucap pada Majlis Kenduri Rakyat sempena sambutan Jubli Emas 50 Tahun Sekolah Menengah Kebangsaan Lundu (SMKL) di Dewan Sri Gading kelmarin, Adenan berkata banyak projek akan dan sedang dilaksana bagi kawasan ini.

“Kita kini memulakan pelaksanaan projek besar misalnya Lebuh Raya Pan Borneo yang bermula dari Tanjong Datu dengan kos keseluruhan antara RM15 bilion hingga RM20 bilion.

“Kedua, kita telah merasmikan Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) bagi negeri ini di kawasan ini. Manakala yang ketiga saya telah memohon agar sebuah Kolej Matrikulasi bagi Sarawak diwujudkan di Sematan,” kata Adenan.

Tambah Adenan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, kawasan Lundu dan Sematan serta Tanjong Datu merupakan antara paling cantik di Sarawak dan berpotensi dimaju bagi tujuan pelancongan.

“Lundu terletak di tepi sungai, Sematan pula terletak di tepi Laut dan kedua-duanya patut ada kemudahan tebingan sungai yang akan kita bangunkan.

“Banyak lagi projek lain termasuk masjid, dewan, taman selera tetapi kita mulakan dengan projek besar ini dahulu demi Lundu yang kita cintai,” ujarnya.

Pada majlis itu, Adenan turut memuji penduduk di daerah ini yang sentiasa mengamal nilai perpaduan yang tinggi serta hidup aman damai antara satu sama lain meskipun terdiri daripada pelbagai bangsa.

“Saya gembira di Lundu ini bahkan di Sarawak tiada pergaduhan antara kaum tertentu dan semua rakyatnya hidup mesra antara satu sama lain.

“Inilah Sarawak dan inilah Lundu yang patut diteladani oleh rakan kita di Semenanjung Malaysia. Sebab itu kerajaan negeri bertegas tidak akan membenarkan golongan pelampau masuk ke negeri ini demi mengekal keharmonian negeri ini,” ujarnya.

Sumber: Utusan Borneo