KUALA LUMPUR – Selepas kejayaan program Selawat Perdana: Malam Cinta Allah Dan Rasul yang menghimpunkan 500,000 umat Islam tahun lalu, Pertubuhan Tarekat Muktabar (PERTAMA) menganjurkan Majlis Zikir Perdana yang akan berlangsung di Masjid Putra, Putrajaya,7 November ini, bermula jam 5 petang.
Zikir Perdana ini juga diadakan sempena majlis perasmian PERTAMA oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Setiausaha Agung PERTAMA, Sheikh Abdul Kareem Said Khadaied berkata, PERTAMA menjangkakan majlis ini akan disertai ribuan umat Islam terdiri daripada ulama terkemuka dari dalam dan luar negara serta daripada pelbagai lapisan masyarakat di Malaysia.
“Menyedari realiti dan cabaran semasa, NGO ini ditubuhkan sebagai wadah kebaikan untuk masyarakat. Tujuan PERTAMA adalah untuk mencari kebaikan dan juga InsyaAllah dapat mengarusperdanakan amalan-amalan tarekat dalam masyarakat demi pembangunan negara,” katanya.
Majlis ini turut mendapat sokongan daripada selebriti popular tanah air seperti Nabil Ahmad, Hisyam Hamid, Siti Elizad, Afiq Muiz, Miera Liyana, Faye Kusyairi, Mawi, Aishah Ilias, Johan As’ari, Izzue Islam, Azza Elite, Azwan Kombos, Farawahida, Ayu Damit, Fazli Zainal, Siti Nordiana, Kumpulan Forteen dan Daly Filsuf.
Menurut Nabil, golongan selebriti mampu menggunakan populariti yang dikecapi untuk tujuan kebaikan, sebagai sebahagian sumbangan terhadap majlis ilmuan itu.
“Sebagai insan seni, saya mengharapkan lebih ramai generasi muda hari ini berasa teruja untuk menghadiri majis ilmu Zikir Perdana.
“Bagi saya, sekiranya kita boleh meluangkan masa untuk menonton konsert hiburan artis barat dan tempatan, kita juga mampu bersama membawa keluarga atau teman untuk menghiburkan diri dengan alunan zikir dan selawat yang sudah tentunya memberi banyak manfaat kepada diri, keluarga dan masyarakat keseluruhannya,” katanya yang baharu sahaja pulang daripada mengerjakan haji, baru-baru ini.
Salah seorang anggota kumpulan Forteen, Izzue Islam berkata, majlis ilmu keagamaan seperti ini adalah satu program yang baik dan perlu disokong semua lapisan masyarakat.
“Program sebegini dapat merapatkan lagi silahturahim umat Islam di negara ini. Artis juga memainkan peranan tersendiri dalam menarik golongan muda menyertai acara ini. Saya juga berharap lebih ramai rakan artis tampil memberi sokongan,” ujarnya yang turut akan disertai rakan Forteen yang lain iaitu One, Ariz dan Amer. – Kedahnews.com