Rita Rudaini Menang, Aidil Zafuan Diperintah Bayar RM30,000 Padanya


Setelah berhempas pulas dan menanti lebih setahun lamanya, pelakon Rita Rudaini akhirnya berjaya mendapatkan hak tuntutan mutaah apabila Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor, semalam.

Mahkamah dilaporkan telah memerintahkan Aidil Zafuan membayar kepada bekas isterinya itu sebanyak RM30,000 daripada tuntutan sebenar RM300,000.

Memetik laporan Sinar Harian, keputusan itu dibuat Hakim Syarie, Mawardi Che Man selepas berpuas hati bahawa plaintif, Rita Rudaini layak membuat tuntutan tersebut.

Pada masa yang sama, Mawardi turut menjelaskan bahawa mahkamah telah menilai dua perkara iaitu kemampuan defendan, Aidil Zafuan dan keadaan serta keperluan Rita Rudaini.

“Mahkamah memutuskan penceraian yang berlaku bukan berpunca daripada keaiban isteri.

“Sehingga diceraikan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), plaintif tidak pernah disabitkan dengan kesalahan nusyuz walaupun defendan telah memfailkan perintah kembali taat namun ia ditarik semula,” katanya.


Sementara itu, Rita menerusi laman Instagramnya turut meluahkan rasa syukur atas kemenangannya itu.

“Alhamdulillah, orang menipu takkan ke mana. Allah sentiasa bersama orang yang dianiaya. Sebelum ini ada seorang hamba Allah mendakwa saya sebagai seorang isteri yang tidak layak untuk mendapat tuntutan mutaah iaitu haknya sendiri.

“Alhamdulillah Allah maha adil dan maha mengetahui. Syukur ya Allah. Kemenangan berpihak pada orang yang benar. Syukur, saya menang dalam kes mutaah dan saya telah diisytiharkan oleh mahkmah bahawa saya layak untuk mendapat mutaah,” antara tulisnya.

Sekadar informasi, muta'ah itu adalah satu bayaran yang wajib ke atas suami yang diberi kepada isteri yang telah diceraikan tanpa sebab munasabah mengikut hukum syarak. -Kedahnews.com