RM110.74 Bilion, Keluarga Samsung Paling Kaya Di Asia - Forbes


Hong Kong - Keluarga Lee dari Korea Selatan yang menguasai syarikat Samsung berada di tempat teratas senarai 50 keluarga paling kaya di Asia.

Menurut edisi terbaru majalah Forbes Asia, keluarga itu memiliki kekayaan berjumlah RM110.74 bilion setakat hujung September lalu dengan generasi kedua dan ketiganya kini menguruskan lebih 50 perniagaan.

Empayar Samsung yang diasaskan Lee Byung-Chull pada 1938 menjalankan pelbagai perniagaan, dari telefon bimbit hingga ke industri pembinaan kapal.

Dalam laporannya itu, majalah berkenaan berkata, hampir separuh keluarga terkaya di Asia keturunan Cina.

Bagaimanapun, tidak seorang pun daripada yang tersenarai itu beroperasi di tanah besar China.

Berada di tempat kedua ialah keluarga yang juga bernama Lee. Bagaimanapun, keluarga ini keturunan Cina yang berpusat di Hong Kong dan menguasai syarikat Henderson Development dengan kekayaan berjumlah RM100.3 bilion.

Keluarga ketiga paling kaya ialah Ambanis dari India yang menguasai Reliance Group dengan harta berjumlah RM90 bilion, diiikuti oleh keluarga Chearavanont dari Thailand yang memiliki harta bernilai RM83 bilion.

Berada di tempat kelima ialah keluarga Kwok yang menguasai empayar hartanah Hong Kong Sun Hung Kai dengan jumlah harta RM82 bilion.

Hanya keluarga dengan perniagaan membabitkan hingga sekurang-kurangnya tiga generasi termasuk dalam kajian itu, kata Forbes Asia.

Keluarga taikun Hong Kong Li Ka-shing yang mempunyai harta RM104 bilion tidak termasuk kerana tidak ada cucunya yang memainkan peranan serius dalam perniagaan keluarga itu. - Agensi