RMK11: Kerajaan Rancang 4 Projek Baru Di Bintulu - Fadillah Yusof

Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof
KUALA LUMPUR – Kerajaan merancang empat projek baharu di Bintulu, Sarawak berkaitan keperluan untuk mempertingkatkan infrastruktur jalan utama di kawasan tersebut dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11).

Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof berkata projek itu adalah menaik taraf Jalan Tanjung Kidurong ke Samalaju Industrial Park (KM4-KM39); menaik taraf persimpangan di Jalan Nyabau, Jalan Kinda dan Bulatan Tanjung Kidurong; membina jejambat di persimpangan Jalan Medan-Jalan Tun Hussein Onn dan membina Jalan Ulu Pandan, Bintulu.

Fasa pertama melibatkan pembinaan di kawasan Bintulu iaitu menaik taraf Persimpangan Jalan Nyabau ke Persimpangan Jalan Bakun sepanjang 43km dimulakan Mac lepas dan dijangka siap Disember 2017, katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, semalam.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu) mengenai perancangan kementerian untuk menaik taraf atau meluaskan jalan raya sedia ada memandangkan jumlah kenderaan besar semakin bertambah ekoran perkembangan dan pembangunan pesat di kawasan Bintulu sebagai kawasan perindustrian berat.

Fadillah berkata di samping projek konvensional Jabatan Kerja Raya, kerajaan juga dalam masa yang sama sedang membina lebuhraya Pan Borneo di Sarawak melalui kaedah rakan pelaksana projek.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya ketika menjawab soalan Wong Ling Biu (DAP-Sarikei) mengenai keperluan pegawai perubatan di Hospital Sarikei, berkata terdapat 32 jawatan pegawai perubatan di hospital itu sehingga 31 Ogos lepas dengan pengisian 25 orang atau 78.1 peratus.

Beliau berkata bidang kepakaran yang ditawarkan oleh lima pegawai perubatan pakar di Hospital Sarikei adalah Perubatan Am, Perbidanan dan Sakit Puan, Anestesiologi, Oftalmologi dan Ortopedik.

Selain itu, katanya perkhidmatan kepakaran seperti Otorinolaringologi, Sakit Puan, Nefrologi, Psikiatri dan Ortopedik diberi secara berjadual oleh pakar perubatan dari Hospital Sibu dan Hospital Umum Sarawak. – BERNAMA