Robohkan Ampang Park Amat Penting Demi Keselamatan - MRT


KUALA LUMPUR - Perobohan keseluruhan bangunan pusat beli-belah Ampang Park di sini penting disebabkan aspek keselamatan, kata Pengarah Bahagian Komersial dan Hal Ehwal Pihak Berkepentingan Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd Haris Fadzilah Hassan.

Beliau berkata untuk memastikan keselamatan pembinaan, adalah tidak munasabah untuk meroboh dua pertiga bangunan dengan meninggalkan baki satu pertiga lagi bangunan memandangkan ia dibina menggunakan kerja pembinaan asas pad, iaitu kaedah yang biasa digunakan dahulu, dan bukan cerucuk.

"Walaupun Stesen MRT Ampang Park bawah tanah tidak menggunakan kesemua kawasan pusat beli-belah Ampang Park, keseluruhan bangunan mesti diroboh bagi pembinaan stesen MRT.

"Jika sebahagian bangunan diroboh, keselamatan bangunan yang tinggal akan terjejas," kata Haris.

Beliau berkata tambahan pula, perkhidmatan bagi bangunan seperti sistem bekalan tenaga, pendingin hawa, kumbahan, tandas dan laluan keluar kecemasan direka bentuk bagi bangunan itu secara menyeluruh.

"Perkhidmatan ini mungkin terjejas apabila dua pertiga bangunan diroboh dan ia berkemungkinan tidak lagi dapat berfungsi dengan baik sekiranya satu pertiga lagi dibiarkan.

"Laluan masuk ke tempat letak kereta bawah tanah terletak di bahagian bangunan yang terjejas secara langsung oleh pembinaan stesen MRT dan ini bermakna laluan masuk berkenaan tidak akan wujud lagi jika satu pertiga bangunan itu dibiarkan," kata beliau.

Laporan menyebut stesen MRT Ampang Park adalah penting memandangkan laluannya akan disepadukan dengan laluan MRT Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) dan laluan LRT Kelana Jaya.

Pusat beli-belah Ampang Park yang dibina pada tahun 1973 dalam proses pengambilalihan oleh kerajaan mengikut Akta Pengambilan Tanah 1960 bertujuan membina Stesen Ampang Park bagi MRT laluan SSP.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dipertanggungjawabkan untuk menempatkan semula peniaga di kompleks beli-belah tersebut.

Sumber: mStar