Rohani Ucap Takziah Atas Pemergian Muhammad Firdaus


KUALA LUMPUR – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga remaja orang kurang upaya (OKU), Muhammad Firdaus Dullah yang meninggal dunia tengah hari Rabu.

Rohani dalam kenyataan menzahirkan rasa sedih memandangkan sehingga pagi tadi, Muhammad Firdaus masih dalam keadaan sihat dan tidak menunjukkan sebarang tanda kurang stabil.

“Sejak berada di bawah pemantauan institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Taman Sinar Tuanku Ampuan Najihah, Seremban pada 21 Ogos tahun lepas, beliau telah menunjukkan perkembangan yang sangat bagus dengan peningkatan berat akhir beliau iaitu 27 kilogram,” menurut kenyataan itu.

Muhammad Firdaus dilaporkan meninggal dunia pada pukul 1.15 petang dipercayai akibat diserang sawan ketika makan tengah hari di Rumah Sinar Harapan berkenaan.

Allahyarham sebelum itu telah dihantar ke Hospital Tunku Jaafar di sini sebaik sahaja insiden berkenaan berlaku.

Remaja berusia 16 tahun itu dijumpai dalam keadaan terabai oleh anggota penguatkuasa Imigresen di Flat Taman Semarak, Nilai dekat sini pada 21 Jun tahun lepas. – BERNAMA