RoS Iktiraf Parti Amanah Negara Pimpinan Ganti Parti Pekerja

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu
GEORGE TOWN – Parti Amanah Negara (Amanah) kini sudah diiktiraf secara rasmi oleh pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS), kata presiden parti tersebut, Mohamad Sabu.

Mohamad, atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, pada sidang media khas di Komtar pada Jumaat berkata RoS telah meluluskan permohonan untuk menukar nama Parti Pekerja Malaysia kepada Amanah.

“Kami baru sahaja menerima berita baik pada hari ini. Oleh itu, kini secara rasminya diumumkan Amanah adalah sebuah parti rasmi,” kata Mohamad Sabu yang juga bekas Timbalan Presiden PAS.

Sidang akhbar itu turut dihadiri Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, yang juga Setiausaha Agung DAP sekali gus mengesahkan ‘cakap politik’ bahawa Amanah boneka DAP ganti PAS dalam pakatan pembangkang.

Amanah yang dilancarkan di Shah Alam, Selangor pada 16 September lalu diwujudkan oleh sekumpulan 18 orang bekas pemimpin PAS yang tewas teruk pada pemilihan parti Islam itu ketika mukktamar lalu.

Mulanya dikenali sebagai Gerakan Harapan Baru, jawatankuasa penaja parti itu kemudian bergabung dengan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia atau Pasma dan beberapa badan bukan kerajaan lain.

Amanah turut menganggotai Pakatan Harapan yang turut disertai DAP dan PKR ditubuhkan pada 22 September lalu bagi menggantikan Pakatan Rakyat yang dibubarkan ekoran krisis antara PAS dengan DAP.


Diwujudkan atas matlamat hanya mahu membebaskan Anwar Ibrahim daripada hukuman penjara dan bukan membela nasib rakyat, pakatan baharu itu ‘membuang’ langsung PAS atas desakan kuat DAP.

Parti cauvinis itu cuma iktiraf Amanah mewakili kaum Melayu dan memecat ramai pemimpin PAS dalam pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang selain menamatkan bantuan kepada sekolah agama rakyat milik PAS.

Mohamad Sabu dalam pada itu menjelaskan, beliau turut berasa yakin bahawa RoS juga akan meluluskan permohonan Amanah untuk menggantikan gelaran ‘Pengerusi’ kepada gelaran ‘Presiden’. – mStar