Rumah Dipecah Masuk Di Taman Sinar Permata, Wartawan Rugi RM11,000

Keadaan siling yang ditebuk bagi membolehkan suspek menceroboh masuk ke rumah mangsa.
SUNGAI PETANI - Seorang wartawan akhbar bahasa Cina mengalami kerugian mencecah RM11,000 apabila rumahnya dekat Taman Sinar Permata, di sini, dipecah masuk kelmarin.

Mangsa, Choo Tai Jie, 32, berkata,  dia kehilangan sebuah motosikal, basikal, wang tunai  RM500, syiling kira-kira RM500, tiga utas jam tangan, telefon bimbit, pasport dan beberapa barangan lain.

Tai Jie berkata, kejadian berlaku ketika ketiadaannya di rumah dan berkemungkinan dipecah masuk ketika siang hari semasa hujan lebat.

Menurutnya, jiran sebelah rumah terdengar penggera berbunyi semasa hujan lebat dan menyangka ia disebabkan cuaca atau kilat.

"Setelah beberapa jam penggera masih tidak berhenti, jiran melaporkan kejadian berkenan kepada pasukan pencegahan jenayah yang kemudian memaklumkan kepada saya.

"Tiba di rumah saya nampak siling rumah telah dipecahkan, penjenayah mungkin masuk ikut bumbung dan lari ikut pintu dapur kerana  ada kesan umpil pintu dari dalam,"katanya.

Menurutnya, bahagian ruang tamu, bilik dan dapur berselerak selepas digeledah penjenayah.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintenden Mohd Sabri Mohamad mengesahkan menerima laporan polis daripada mangsa.

Menurutnya, polis masih lagi menjalankan siasatan berhubung kejadian berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. 

Sumber: Sinar Harian