KETIKA Lembaga Keselamatan Belanda (DSB) dalam laporan akhir siasatan MH17 yang diumumkan baru-baru ini cuba seolah-olah mahu menyalahkan Rusia, kuasa besar dunia itu tampil mendedahkan misteri laporan itu sendiri.
Menerusi satu kenyataan diterima MYNEWSHUB secara eksklusif daripada Kedutaan Rusia di Kuala Lumpur, negara itu turut menyenaraikan banyak kelemahan ketara pada laporan DSB termasuk beberapa isu sensitif yang disembunyikan.
Paling utama, laporan tragedi pesawat Boeing milik Malaysia Airlines Berhad itu yang turut dikaji secara teliti oleh pihak Rusia membongkar kualiti yang cukup teruk, malah rumusan tertentu tidak masuk akal dan tidak berasas langsung.
Di sebalik konon analisis konsisten data bersifat objektif, DSB didakwa lebih memilih bukti tertentu sahaja untuk disesuaikan dengan pembentangan kepada umum, walhal dokumen lampiran disertakan agak lemah dan diragui kesahihan.
Lebih dahsyat, siasatan dilakukan itu bercanggah dengan standard amalan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), sebuah agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sendiri.
Sebagai contoh, Pengerusi DSB, Tjibbe Joustra amat dikesali Moscow kerana semasa pembentangan tidak menuding tragedi itu kepada mana-mana pihak, termasuk lokasi asal peluru berpandu mungkin dilancarkan ke arah MH17.
Namun kemudian beliau dalam hari yang sama pada sidang media di tempat lain pula secara terbuka menyalahkan puak pemisah Donetsk People’s Republic dan ini mencemarkan nama baik DSB bahkan imej dirinya sendiri.
Menyentuh ketiadaan wakil Rusia dalam DSB, Kementerian Pengangkutan Rusia ada menerima jemputan pada 21 Julai lalu untuk mengambil bahagian dalam penyiasatan, namun ditolak kerana ia berlaku di luar wilayahnya.
Moscow pada asalnya berpendapat, nahas tidak melibatkan kepentingan Rusia apatah lagi bukan pesawat buatannya, syarikat penerbangan asing dan tiada rakyat Rusia yang menjadi penumpang atau sebagai anak kapal MH17.
Namun peringkat awal itu lagi, pembabitan Moscow dikhususkan hanya untuk membekalkan Belanda dengan data daripada radar pihak berkuasa trafik udara Rusia termasuk persoalan peluru berpandu untuk menembak pesawat.
Malah pakar-pakar Rusia menyediakan segala maklumat yang diminta Majlis Keselamatan PBB berkaitan jenis senjata mungkin digunakan bagi kejadian pesawat awam boleh ditembak jatuh untuk disuaipadankan dengan MH17.
Bagaimanapun Rusia tidak dilibatkan dalam sebarang kerja penyelidikan di sebalik tawaran Moscow untuk memaparkan dokumen tertentu bagi menjelaskan ciri-ciri persenjataan hasil kejuruteraan negara itu ditolak pula pihak DSB.
Troni, terdapat juga perjanjian rahsia dalam kalangan negara anggota penyiasat DSB, malah media massa Barat hanya melaporkan ada rundingan berasingan melibatkan pihak Ukraine langsung tanpa pengetahuan pihak Malaysia sendiri.
Australia, Begium, Belanda dan Ukraine didakwa membuat perjanjian sulit sesama mereka mengenai pelbagai maklumat rahsia sebaliknya Rusia langsung tidak terbabit dalam mana-mana perundingan sepanjang penyiasatan berlangsung.
Hakikatnya Rusia berkongsi semua maklumat kepada DSB tanpa sembunyi apa-apa fakta dan bersedia pada bila-bila masa melengkapkan siasatan untuk membuktikan kebenaran di sebalik pihak tertentu cuba mempolitikkan isu ini.
Sesuatu tidak dilaporkan, ada pelanggaran standard ICAO dalam penyediaan laporan. Rusia cuma ditunjukkan gambar-gambar serpihan pesawat akibat kesan peluru berpandu BUK, namun tempat tembakan itu tidak pula dinyatakan.
Rusia telah memaklumkan ICAO berhubung kelemahan standard itu apabila mendapati penyelarasan dari segi siasatan teknikal dan jenayah selain bukti material penting cuba disorok sekali gus menjejaskan kesempurnaan laporan.
Walhal buat julung kali dalam sejarah penerbangan awam dunia, Rusia sanggup menyahrahsia maklumat BUK tanpa diminta DSB, malah pusat saintifik Kementerian Pertahanan menyerahkan hasil kajian peluru itu kepada lembaga tersebut.
Moscow turut buat inisiatif sendiri menjalankan penyelidikan mengenai BUK dan pada masa sama, menawarkan DSB datang ke negara itu bagi bersama-sama melakukan eksperimen kesan BUK tetapi tiada pula respons daripada DSB.
Justeru dakwaan konon Rusia tidak memberi kerjasama kepada DSB adalah tidak benar sebaliknya negara itu berulang kali sedia menjalankan siasatan tanpa masalah sejak nahas berlaku bagi membuktikan kebenaran insiden.
Pesawat jenis Boeing 777-200ER dengan 283 penumpang dan 15 anak kapal ditembak jatuh oleh BUK yang tidak lagi dimiliki Rusia di timur Ukraine pada 17 Julai 2014 ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.
Terbuktilah ada sesuatu seumpama misteri apabila penyiasat DSB cuba menyorok kebenaran dan hanya berkongsi maklumat yang sesuai dengan kehendak mereka bagi membina imej persepsi tersirat secara sistematik.
Bagi Rusia sendiri, mereka telah berusaha sebaik mungkin dan mahu punca penyebab terjatuhnya pesawat MH17 itu dapat segera dibawa ke muka pengadilan demi hak waris mangsa yang tidak berdosa. -Kedahnews.com